KUALA LUMPUR – Sebanyak 30 notis kompaun dikeluarkan kepada orang awam yang melintas jalan tanpa menggunakan jejantas dan ingkar arahan papan tanda ‘dilarang melintas’ dalam Operasi Jejantas Siri 20/2019 di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) di sini, Rabu lalu.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan, tindakan penguatkuasaan mengikut Peruntukan Undang-undang Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 itu diambil bertujuan meningkatkan keselamatan pengguna dan mengelak daripada berlakunya kemalangan.
“Sebanyak 657 notis dikeluarkan dengan 20 siri tindakan setakat kini. DBKL akan meneruskan operasi seumpama ini dari semasa ke semasa bagi memberi pengajaran kepada orang awam,” menurut DBKL dalam kenyataan di sini.
Sepasukan pegawai dan anggota Warden Trafik Jabatan Penguatkuasaan DBKL telah terlibat dalam operasi berkenaan. – UTUSAN ONLINE











