KUALA LUMPUR – Kes Datin Seri Rosmah Mansor yang didakwa atas satu pertuduhan menerima suapan RM5 juta berhubung projek bersepadu sistem solar sekolah-sekolah luar bandar di Sarawak, tiga tahun lalu akan didengar di Mahkamah Tinggi.
Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pasukan pendakwaan yang diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib untuk memindah kes itu ke Mahkamah Tinggi.
Bagaimanapun, tarikh pengurusan kes akan ditetapkan kemudian.
Berita berkaitan:
Pada 10 Mei lalu, Rosmah, 68, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima suatu suapan untuk iaitu wang tunai berjumlah RM5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd., Saidi Abang Samsudin, 60, melalui Rizal Mansor.
Wang berkenaan adalah sebagai upah
kerana telah membantu syarikat berkenaan mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan dan Operasi Gense/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.
Beliau didakwa melakukan perbuatan di Kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Persint 10 Putrajaya pada 20 Disember 2016.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi.
Rosmah sebelum ini telah didakwa atas dua pertuduhan meminta RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta berhubung projek sama dan kes itu terlebih dahulu telah dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dan akan dibicarakan tahun depan. – UTUSAN ONLINE.











