Arab Saudi dilanda gelombang haba - Utusan Malaysia

Arab Saudi dilanda gelombang haba

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEDDAH 27 Jun – Gelombang ketiga cuaca panas dijangka melanda Arab Saudi bermula semalam, dengan suhu setinggi 50 darjah Celsius akan melanda beberapa kawasan di negara ini termasuk Madinah.

Lapor Saudi Gazette, pakar kaji cuaca, Abdulaziz Al-Hossaini menjangkakan cuaca panas melampau akan berlarutan selama seminggu dan suhu melampau bakal berlaku di beberapa kawasan.

“Suhu mungkin menjangkau lebih 50 darjah Celsius di Madinah dan Wilayah Timur manakala di beberapa kawasan lain akan mencecah sehingga lebih daripada 45 darjah Celsius,” katanya.

Abdulaziz berkata, suhu akan menjadi lebih sejuk sekitar awal pagi dan bertukar sederhana sepanjang pagi di bahagian barat dan selatan negara tersebut.

“Ini menjadi gelombang haba ketiga sejak musim panas bermula pada 7 Jun lalu selain ribut pasir akan berterusan di beberapa kawasan Arab Saudi,” katanya lagi.

Sementara itu Jabatan Meteorologi dan Perlindungan Alam Sekitar Arab Saudi me­nyatakan, merujuk ramalan kaji cuaca untuk Rabu, suhu panas luar biasa akan dirasai di Wilayah Timur, Al-Jouf, Madinah dan wilayah sempadan utara.

Suhu panas itu disertai tiupan angin kencang yang membawa debu ketika angin kencang berserta ribut petir pula dijangka melanda Jazan, Al- Baha, Asir dan berterusan sehingga kawasan tinggi di selatan Mekah.

Sementara itu, tinjauan ramalan kaji cuaca menerusi portal accuweather, cuaca di Riyadh, Jeddah, Madinah dan Mekah sepanjang minggu depan (1 hingga 7 Julai 2019) dilaporkan pada panas yang sederhana.

Suhu tertinggi dicatatkan di Riyadh pada 1 Julai 2019 (Isnin) iaitu 46 darjah Celcius diikuti Mekah (43 darjah Celcius) dan Madinah (42 darjah Celcius) ketika suhu tersebut kekal sepanjang tempoh berkenaan.

Gelombang pertama cuaca panas melanda Arab Saudi, Kuwait, Qatar, Bahrain dan UAE awal bulan ini dengan suhu di Kuwait dilapor mencecah 63 darjah Celsius.

Dalam perkembangan ber­asingan. pihak berkuasa Eropah mengeluarkan amaran gelombang haba akan menca­tatkan rekod baharu pada bulan ini dengan suhu dijangka mencapai 40 darjah Celcius di Perancis, Sepanyol dan Greece.

Lapor Channel News Asia, pakar kaji cuaca mendakwa, gelombang haba itu berlaku lebih awal di ketika musim panas Eropah diakibatkan oleh udara panas yang datang dari utara Afrika.

Mereka menjangkakan suhu bakal mencecah sehingga 40 darjah Celsius pada Khamis dan Jumaat di Perancis, Sepanyol dan Greece.

Pensyarah Sains Iklim Univerisiti Reading, Len Shaffrey mengingatkan, fenomena berkaitan akan lebih kerap berlaku ekoran pemanasan global yang diakibatkan oleh penggunaan bahan api fosil.

“Suhu dunia meningkat ekoran perubahan iklim. Ini menandakan gelombang haba akan lebih kerap berlaku,” katanya.

Agensi Meteorologi Aemet di Sepanyol semalam menyatakan, lima wilayah negara ini di utara akan mengalami fenomena yang sama dengan jangkaan peningkatan suhu sehingga 42 darjah Celsius.

Di Perancis, kerajaan tempatan meletakkan 13 daerah dalam keadaan berjaga-jaga, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 78 daerah.

Selain itu di Greece, pihak berkuasa dan hospital diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga susulan amaran suhu panas ekstrem mencecah 45 darjah Celsius.

Innsbruck di Austria pula pada Selasa lalu mencatatkan suhu tinggi mencecah 36.7 darjah Celsius manakala institut kaji cuaca Poland mendakwa, suhu paling tinggi negara itu berlaku semalam di barat daya dengan rekod sehingga 38.2 darjah Celsius.

Selain itu, institut hidro meteorologi Republik Czech merekodkan suhu tinggi sehingga 38.9 darjah Celsius di utara Doksany manakala Belgium turut terkesan dengan suhu mencecah 19 darjah Celsius di pesisir pantai utara dan 33 darjah Celsius di bahagian selatan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×