KUALA LUMPUR – IPSB Technology (IPSB), penyedia penyelesaian global, telah memperkenalkan pelayan komputer hasil inovasi syarikat, siri XSCALAR Enterprise Compute, Enterprise Scalable dan High Compute bagi meningkatkan produktiviti perniagaan.
Pengarah IPSB, Nasir Baki berkata, XSCALAR merupakan produk buatan Malaysia yang dihasilkan bertujuan untuk merapatkan jurang dalam menyediakan organisasi tempatan serta pelanggan IPSB dengan perkakasan tempatan dengan piawaian antarabangsa pada kos yang dikurangkan.
Menurut beliau, XSCALAR menawarkan pelbagai pelayan yang telah melalui proses penyelidikan dan pembangunan terperinci serta ujian intensif untuk menyampaikan sesuatu yang berinovasi.
“Kami sekarang berada pada zaman transformasi digital dan pengkomputeran awan dan ke arah pembelajaran kecerdasan buatan dan mesin.
“Oleh kerana pelanggan dan perusahaan mencari penyelesaian pada kos efektif, IPSB telah mengumpulkan pakar tempatan yang berbakat untuk sama-sama menghasilkan produk whitebox yang ditakrifkan perisian. Inilah sebabnya mengapa kami kini mempunyai XSCALAR,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis pelancaran pelayan tersebut di sini semalam.
Sementara itu, Naib Presiden Jualan IPSB, Mardhiah Nasir berkata, XSCALAR dari aspek teknologi merupakan pemudah cara untuk pemilik perniagaan menembusi pasaran dunia teknologi dengan lebih pantas dan efektif.
“IPSB berharap dengan teknologi terbaharu, pelanggan terutamanya pemilik perniagaan dapat mengembangkan lagi perniagaan mereka pada masa hadapan,” katanya.










