Saranan Gerakan tidak masuk akal - Utusan Malaysia

Saranan Gerakan tidak masuk akal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Saranan Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau agar usaha mendapatkan semula wang yang mengalir keluar daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dimulakan dengan bekas pemimpin-pemimpin UMNO dalam Pakatan Harapan (PH) disifatkan sebagai ‘tidak masuk akal’.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, jejak kewangan 1MDB yang kini sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tidak melibatkan akaun peribadi bekas pemimpin-pemimpin UMNO berkenaan.

“Saya pun tidak tahu kenapa hendak minta duit kepada Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Mereka ada terima wang? Adakah masuk akaun peribadi mereka atau tidak?

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jadi itulah, kadang-kadang bukan cakap saya tidak mahu jawab tetapi (saranan) dari Gerakan ini tidak masuk akal sama sekali. Kerana tidak masuk akaun peribadi mereka jadi kenapa hendak tujukan ke atas mereka? Ini tidak masuk akal jadi bagaimana hendak jawab?” katanya kepada pemberita selepas Majlis Konsultasi Belanjawan 2020 di sini hari ini.

Dominic semalam menggesa Guan Eng memulakan dengan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dalam usaha mendapatkan semula wang-wang yang mengalir keluar daripada salah guna kes 1MDB.

Menurut Dominic, hal itu kerana jawatankuasa Badan Perhubungan UMNO Sabah, UMNO Johor dan UMNO Kedah antara yang terlibat dalam isu 1MDB berdasarkan senarai yang dikeluarkan SPRM.

Sementara itu, Guan Eng mempersoalkan kewajaran Dominic tidak mempersoalkan aliran wang yang masuk ke dalam akaun bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Yang masuk ke dalam akaun Najib dia tidak minta… Yang tidak masuk akaun orang dia tuntut dari 1MDB. Masuk akal atau tidak? Jadi saya minta maaf saya tidak boleh melayan soalan-soalan sedemikian “ katanya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, senarai 41 individu dan entiti terlibat dalam aliran wang 1MDB sepertimana didedahkan SPRM baru-baru ini adalah senarai awal dan terdapat nama-nama lain belum diumumkan termasuk sebuah persatuan pengamal media.

“Tetapi di sini kita lihat bahawa persatuan wartawan itu pun telah akui dan mereka akan bayar balik tetapi nama mereka tiada dalam senarai 41 nama. Jadi biar kita tunggu kemungkinan besar banyak nama-nama lagi,” katanya.

Dewan Pemuda Pas sebelum ini menuntut mana-mana individu termasuk kalangan menteri yang memfitnah Pas menerima dana RM90 juta menerusi 1MDB agar membuat permohonan maaf secara terbuka. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini