“Ustaz! Keliru sungguh saya dengan tingkah laku orang belajar agama. Semakin banyak mengaji, akhlaknya tidak menjana contoh baik. Susah berlapang dada, banyak buruk sangka, suka melabel, tergamak menunggang agama dan banyak lagi,”.
Tersentak saya seketika mendengar keluhan seorang ahli surau kami. Walaupun ia bersifat tidak adil, tapi apakan daya, itulah sikap orang awam yang lebih mudah melihat ‘satu titik hitam pada sebuah papan putih’ berbanding warna putih yang mendominasi keseluruhan papan putih.
Sukar menangkis pandangan buruk orang awam terhadap sikap negatif segelintir orang agama yang ‘zikir dan tahlilnya’ umpat cela kepada golongan yang berlainan puak-fikir dengan mereka.
Sepatutnya orang agama perlu meletakkan sasaran tertinggi pada akhlak mereka dan bukannya memberi penafian kerana penafian bukan ubat sebenar masalah. Seperti sesetengah ubat, pahit itu baik untuk kesembuhan.
Menyalahkan mata orang awam yang mudah melihat ‘satu titik hitam’ sebenarnya tidak bagus. Oleh itu, para agamawan perlu muhasabah segera agar mereka benar-benar mewakili warna putih pada keseluruhan papan putih tersebut.
Orang Rabbaniyin
Pada asasnya orang yang dimuliakan Allah dengan ilmu agama perlu menjadi contoh kepada yang lain. Hayatilah hujung firman Allah dalam ayat 79 surah ali-Imran yang bermaksud: Hendaklah kamu menjadi orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah SWT- dengan ilmu dan amal yang sempurna) kerana kamu sentiasa mengajarkan isi kitab Allahg itu dan kerana kamu selalu mempelajarinya.
Dalam dunia serba mencabar hari ini, saya cadangkan orang agama bermuhasabah dalam tiga perkara:
1)Meletakkan niat yang ikhlas dalam mendalami agama untuk mencapai reda Allah bukannya menunggang agama untuk habuan dunia. Sepatutnya semakin dalam ilmu agama seseorang, semakin dalam gerunnya pada Allah (Fatir: 28).
Semakin tinggi ilmu agamanya, semakin tinggi akhlak lidah dan jari jemarinya. Jauhilah ancaman Allah sebagaimana hadis yang bermaksud:
Sesiapa yang menuntut ilmu dengan tujuan untuk berdebat dengan manusia bodoh yang jahil, atau berbangga dengan ulama atau menarik perhatian manusia kepadanya maka dia akan dimasukkan ke dalam neraka (Sunan Ibn Majah).
2) Berbaik sangka dan berkasih sayang sesama muslim. Semakin tinggi ilmu agama yang didalami, sepatutnya akhlak baik sangka semakin tinggi dan sifat buruk sangka semakin nipis atau hilang langsung.
Banyak krisis aliran pemikiran dalam pengajian agama berpunca daripada buruk sangka. Setiap pihak cenderung melihat pandangan pihak lain dalam kaca mata mereka dan tidak dalam kaca mata sebenar pihak bertentangan.
Umpamanya pihak bertentangan memaksudkan ‘itik’ tapi kita berkata mereka mengulas tentang ‘ayam’. Lalu bagaimana kedua-dua aliran ini boleh bertemu jika tiada keadilan dalam menilai atau memahami pihak bertentangan?
Tanda iman
Allah menganjurkan kita agar teliti dan bersikap adil walaupun kepada pihak yang tidak sealiran dengan kita sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Wahai orang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan (al-Ma’idah: 8)
Adil kepada pihak bertentangan adalah tanda iman kerana pangkal ayat di atas Allah mulai dengan panggilan wahai orang beriman.
Tambahan pula pihak yang tidak sealiran dengan kita masih lagi berkongsi Tuhan dan Nabi yang satu. Sikap orang beriman sesama mereka adalah saling berkasih sayang, bukannya bermusuhan. Jangan sampai membidik peluru kepada saudara seagama. Inilah sikap kaum yang bersama Rasulullah SAW.
Ia sebagaimana firman Allah yang bermaksud: Nabi Muhammad SAW adalah Rasulullah; dan orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaliknya bersikap kasih sayang serta belas kashan sesama sendiri (umat Islam). (al-Fath: 29)
3) Menggunakan bahasa sopan berakhlak jika perlu menegur kesilapan pihak lain. Kita perlu akui, tiada manusia yang sempurna dan kebal-silap seperti Rasulullah SAW.
Jika kita silap, pastinya kita suka ditegur secara sopan atau tertutup. Kadangkala bukan teguran yang sukar diterima pihak tersilap tetapi cara teguran dihamburkan. Bahasa memainkan peranan penting dalam komunikasi sesama manusia.
Allah selaku Pencipta manusia memang mengingatkan secara khusus tentang ‘jarum berbisa syaitan’ dalam bahasa sebagaimana firman Allah yang bermaksud: Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada hamba-Ku (yang beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik kerana sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menghasut antara mereka (yang mukmin dan yang menentang); sesungguhnya Syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia (al-Israk: 53)
Janganlah menyelar atau menggelar jiwa teman seagama dengan ayat pedas melalui lidah atau jari jemari media sosial. Allah sangat kasihkan orang beriman kerana menamakan mereka sebagai para hambaku.
Kasih sayang
Sungguh! Ini bukan panggilan biasa. Ini adalah panggilan manja penuh kasih sayang. Oleh itu, balaslah kasih sayang Allah dalam ayat itu dengan mempraktikkan akhlak mulia pada bahasa kita.
Bahkan dalam dakwah, manusia sejahat Firaun pun Allah arahkan Nabi Musa a.s melunakkan teguran (Taha: 43-44), inikan pula teman seakidah kita.
Semoga nasihat ini menjadi ‘jentik manja’ kepada semua penuntut agama. Allah sayangkan kita semua dengan pengutusan agama ini. Agama adalah ubat yang berguna untuk merawat dan membimbing manusia. Janganlah disalah gunakan ubat ini dengan akhlak buruk kita.
Bimbang nanti orang jahil akan melihat agama dari kaca mata yang salah, lalu mereka semakin menjauhi agama kerana melihat ia adalah punca perpecahan atau pemutus kasih sayang manusiawi. Atau lebih parah, orang awam akan melihat agama adalah sejenis tunggangan untuk mencapai kehendak nafsu atau sejenis produk yang mampu menjana kekayaan. Mohon dijauhkan Allah. – UTUSAN
Penulis Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar, Pusat Bahasa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.









