KUANTAN: Tindakan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Siti Nora Mohamad Noor yang mendakwa beliau sebagai Ketua Srikandi Bahagian Maran telah keluar parti disifatkan sebagai gimik murahan dan memalukan.
Ketua Bersatu Bahagian Maran, Datuk Jasri Jamaludin berkata, ini kerana Siti Nora sendiri mengetahui dia bukan Ketua Srikandi Bersatu Maran disebabkan belum layak memegang jawatan itu kerana keahliannya belum setahun.
Katanya, apa yang berlaku itu mempunyai hikmahnya dan menggambarkan Bersatu Maran telah memberikan impak di daerah itu dan mula dipandang oleh bukan sahaja penduduk malah parti politik di situ.
“Apabila Bersatu Maran berjaya membuat persidangan kali pertama setelah bertahun dan secara rasmi ditubuhkan, ia memberikan impak yang besar kepada politik Maran.
“Jadi ada pihak tertentu tidak senang hati dan terdesak sehingga sanggup membuat gimik politik yang pada saya tidak sepatutnya dan memalukan,” katanya di sini baru-baru ini.
Menurutnya, kalau ahli biasa Srikandi hendak membuat gimik politik sehingga peringkat negeri dan melibatkan pula Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, ia sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.
Beliau mengulas tindakan Siti Nora mengetuai 31 individu yang mendakwa ahli Bersatu Bahagian Maran menyerahkan borang keahlian menyertai UMNO kepada Wan Rosdy selepas umum keluar parti.
Menurut Siti Nora, keputusan mereka keluar parti kerana sudah hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap hala tuju parti itu dan turut mendakwa kira-kira 100 ahli Bersatu bahagian Maran dijangka mengambil langkah sama.
Mengulas tentang jawatan Siti Nora sebagai Ketua Srikandi (Penaja) Bersatu Maran, Jasri berkata, taraf atau status Penaja hanya sehingga persidangan dan Pemilihan Tahunan Bersatu Bahagian Maran pada 28 November 2021.
Beliau berkata, semasa persidangan dan pemilihan tahunan, jawatan ketua bahagian dan semua Ahli Jawatankuasa (AJK) dibuat pemilihan dan pencalonan dibuka kepada semua ahli Bersatu yang layak.
“Antara syarat dalam Bersatu, sesiapa yang hendak menawarkan diri untuk memegang jawatan mestilah menjadi ahli lebih daripada 12 bulan atau setahun.
“Siti Nora tidak layak menjadi calon dan bertanding kerana keahliannya belum setahun. AJK penaja dan ahli Srikandi yang layak bertanding serta keahlian mereka lebih setahun membuat pemilihan. Pemilihan kemudiannya melantik seorang Ketua Srikandi baharu iaitu Nur Amirah Shafiqah yang berstatus Pemangku.
“Apabila pencalonan ditutup yang layak sahaja akan bertanding dan dipilih. Siti Nora menjadi ahli biasa sahaja. Tidak layak bertanding apatah lagi dipilih. Pemilihan untuk Bahagian yang berstatus Penaja diarah oleh parti untuk dibuat pada tahun 2021 dan tidak perlu menunggu sehingga 2023,” jelasnya.
Menurutnya, beliau juga dipilih dalam pemilihan pada 28 November 2021 sebagai calon tunggal dan menang tanpa bertanding sebagai Ketua Bahagian Bersatu Maran yang sah.
“Bersatu Bahagian Maran juga dengan secara rasmi telah ditubuhkan. Bukan lagi bahagian yang berstatus penaja. Jadi saya juga menjadi Ketua Bahagian yang sah dan bukan lagi Ketua Bahagian yang berstatus Penaja,” katanya. – UTUSAN










