Pelakon Ikmal Amry puas dibayangi watak pembantu

Pelakon Ikmal Amry puas dibayangi watak pembantu

Baru sahaja menimang cahaya mata, Ikmal mengharapkan tuah dan rezeki dalam industri seni.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KHALAYAK selalu beranggapan, pelakon yang ada rupa itu bonus. Senang untuk dikenali dan populariti ibarat meroket ke bintang. Namun hakikatnya, itu sama sekali jarang berlaku.

Lihat sahaja jejaka sedang meningkat naik ini. Memiliki ketampanan dan tubuh “segar” di pandangan mata, tidak menjadikan dia aset pelakon tangkap muat untuk dijadikan sebagai pelakon utama dalam kebanyakan karya sedia ada.

Jangan dipersoal di mana silap percaturan, kerana mengenali pelakon Ikmal Amry ini dia seorang yang tidak mengenal erti putus asa mahu pun berasa lelah dalam perjuangannya.

Usah juga dicanang berita bagaimana dia menelan perit untuk terus berusaha mara ke hadapan dalam mencari peluang dan ruang untuk bersinar. Cukup sahaja hasil membuktikan dan menjawab segalanya.

Memasuki tahun ke tujuh pembabitannya dalam industri seni. Ikmal masih individu yang sama seperti mana saya kenali. Personalitinya adakala melucukan dan sentiasa membumi.

Dalam perkembangan terkini, Ikmal atau nama penuhnya Mohd Zulikmal Amry Ghazali, 28, menzahirkan rasa teruja kerana berpeluang menggalas watak utama sebagai Malik menerusi saluran Astro Ria untuk drama bersiri Ex Aku Pontianak.

“Masa dapat tahu, saya tak fikir panjang dan terus sambar peluang itu. Sebab saya fikir, peluang yang hadir ini bagus untuk masa ke depan.

“Sudah cukup saya dibayangi dengan watak-watak pembantu. Namun ada juga watak yang saya bawa itu menyerlah. Tapi saya anggap lakonan ini sebagai kerja saya dan mencari rezeki halal.

“Cuma tidak nafilah rezeki lebih andai dapat jadi pelakon utama sekali gus dapatlah menonjolkan diri saya yang mana sebenarnya boleh membawakan watak-watak sedia dan lain daripada yang lain,” jelasnya perwatakan Malik memperlihatkan sisi lain daripada watak yang pernah dibawa.

Bercerita mengenai pemilihan watak utama yang diberikan, secara peribadinya dia merasakan pengalaman pernah bekerjasama dengan pengarah, Shamyl Othman antara asbab kepercayaan diberikan peluang keemasan untuk menonjolkan bakat lakonannya.

“Sebelum ini pernah bekerja di bawah arahan dia dan saya sudah faham gerak kerjanya bagaimana,” jelasnya.

Nama besar
Tidak dinafikan bergandingan dengan pelakon nama-nama besar sedikit sebanyak mempengaruhi seseorang artis itu lebih dikenali. Tambah pula kalau lakonan mereka ada keserasian dan bersahaja.

Bagaimanapun, ada juga segelintir artis yang menitikberatkan siapakah rakan gandingan mereka. Bimbang seandainya tidak dapat memberikan persembahan yang terbaik.

Pun begitu, bagi Ikmal, dia tidak mahu ambil pusing dan terlalu fokus akan hal itu. Baginya, dia mahu memberikan sepenuh perhatian pada watak dan perwatakan karya yang bakal dihidupkan.

“Siapa hero dan heroin saya sebenarnya tidak fikirkan sangat. Saya cuma mahu fokus dan buat sehabis baik sahaja.

“Bila sudah sampai di lokasi penggambaran atau ketika sesi bacaan skrip baru tahu siapa rakan lakon dan mula cuba buat keserasian.

“Sebelum ini pun saya tak tahu siapa, contohnya pelakon terkenal, Randy Pangalila dalam drama bersiri, Gantung,” ujarnya.

Ikmal yang mula disebut-sebut namanya selepas meraih populariti dari karya Gantung, tidak kira siapa yang penting adalah hasil kerja.

“Jangan terbeban dengan siapa gandingan kita, nanti bila terlalu bimbang, lakonan nampak tidak bersahaja pula,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×