SINGAPURA: Harga minyak menokok ke tahap tertinggi dalam tempoh lebih tujuh tahun semalam, berikutan kebimbangan kemungkinan berlaku pencerobohan ke atas Ukraine oleh Rusia yang boleh mencetuskan sekatan daripada Amerika Syarikat (AS) dan Eropah serta mengganggu eksport tenaga daripada pengeluar utama dunia itu.
Niaga hadapan minyak mentah Brent berada pada AS$95.73 (RM401.25) setong naik AS$1.29 (RM5.41) atau 1.4 peratus selepas mencecah paras tertinggi harian sebanyak AS$95.91(RM402.01), sebelum ini.
Minyak mentah AS West Texas Intermediate (WTI) juga naik AS$1.49 (RM6.25) atau 1.6 peratus kepada AS$94.59 (RM396.47) setong.
Komen daripada AS mengenai serangan yang akan berlaku di Ukraine itu telah menggegarkan pasaran kewangan global.
Menurut AS, Rusia boleh menyerang Ukraine pada bila-bila masa dan mungkin akan memberi alasan untuk melakukan serangan mengejut.
Penganalisis OANDA, Edward Moya berkata, sekiranya berlaku pergerakan tentera, minyak mentah Brent tidak akan menghadapi sebarang masalah untuk rali melebihi paras AS$100.
“Harga minyak akan kekal sangat tidak menentu dan sensitif terhadap kemaskini tambahan mengenai situasi di Ukraine,” katanya.
Sementara itu, Reuters melaporkan, para pelabur juga menumpukan perhatian kepada perbincangan antara AS dan Iran untuk memulihkan perjanjian nuklear 2015.
Bagaimanapun, pegawai kanan keselamatan Iran pada Isnin memberitahu, rundingan menjadi semakin sukar untuk mencapai persetujuan.
Menurut firma perkhidmatan tenaga, Bakers Hughes Co. pada Jumaat lalu, di AS, harga minyak yang teguh menggalakkan firma tenaga untuk meningkatkan pengeluaran apabila mereka menambah pelantar minyak paling banyak dalam empat tahun, pada minggu lalu.– AGENSI










