PUTRAJAYA: “Saya mahu membuktikan golongan orang kurang upaya (OKU) juga mampu menawan puncak gunung tertinggi dunia.”
Semangat itu disuarakan Muhammad Hawari Hashim, 31, yang merupakan salah seorang peserta pasukan Malaysia Everest 2022 (ME 2022) dalam misi pendakian ke Everest pada April depan.
Muhammad Hawari yang mempunyai masalah pekak dan bisu sejak lahir itu bakal menjadi OKU pertama negara menawan puncak tertinggi dunia bersama 9 lagi individu lain yang menyertai misi berkenaan bermula 26 Mac hingga 11 Jun ini.

Menurutnya, dia tekad mengibarkan Jalur Gemilang di gunung Everest berketinggian 8.848 meter dari aras laut itu selepas membuat persiapan sewajarnya sejak dua tahun lalu dengan mengadakan latihan fizikal dan mental melalui pendakian beberapa gunung di dalam negara.
Meminati sukan rekreasi lasak, dia menanam cita-cita untuk menjejakkan kaki di puncak Everest sejak 2020, namun terhalang disebabkan pandemik Covid-19.
Muhammad Hawari yang merupakan kakitangan Muzium Pulau Pinang itu berkata, dia bersama ahli pasukan sudah membuat persiapan latihan rapi dan pernah sampai di Annapurna Base Camp (ABC), kira-kira 4,130 meter dari aras laut pada September 2019.
“Saya yakin dan percaya boleh melakukan apa saja walaupun dianggap mustahil oleh ramai orang kerana kekurangan yang ada pada diri ini.
“Cabaran menawan Everest ini bukan kecil, selain menuntut stamina dan kekuatan mental tinggi, pendaki ada ketikanya terpaksa berdepan serangan penyakit akut gunung (AMS),” katanya ketika ditemui dalam sidang media ME 2022, di sini, hari ini oleh Chef De Mission ME2022, Tan Sri Dr. Salleh Mohd Noor.
Misi diketuai Azim Afif Ishak, 32, yang merupakan pendaki Everest 2016 bergabung sebagai pasukan bersama pendaki lain Ahmad Murshid Maktar, 35, (jurutera); Ayu Wanirah Naharuddin, 29, (kakitangan swasta); Rina Jordana Adnan,41, (Penolong Pegawai Belia dan Sukan).
Turut menyertai misi ialah Oh Jin Heng, 37, (ahli perniagaan); Askandar Ampuan Yawcub, 54, (Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Kedah) selain tiga anggota polis, Kanang Anak Usin, 42; M. Parash a/l Murugesu, 32, dan Mohammad Hanif Che Ahmad, 28.
Ditanya mengenai kebimbangan yang bakal dihadapi, Muhammad Hawari menyifatkan faktor cuaca elemen yang perlu diberikan perhatian, namun menganggap ia bukan satu halangan dan percaya mampu melaksanakannya berdasarkan persiapan dilakukan,” tegasnya.- UTUSAN











