Anak cari ibu kandung bernama Stella Dian

Anak cari ibu kandung bernama Stella Dian

NUR Alya Azmina Lyana Abdullah (kiri) bersama kakak angkatnya Noratikah A. Halim membuat laporan di IPD Kota Bharu semalam. - FOTO/ROHANA MOHD. NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang kanak-kanak berusia 11 tahun yang dibesarkan keluarga angkat sejak lahir sedang mencari ibu kandung untuk melancarkan urusan membuat MyKad tahun depan.

Kanak-kanak tersebut, Nur Alya Azmina Lyana Abdullah tinggal bersama keluarga angkatnya di Kampung Bukit Tanah, Peringat di sini dan tidak mempunyai dokumen lain kecuali surat beranak.

Bagaimanapun, ibu angkatnya, Sabariah Deraman meninggal dunia akibat serangan jantung kira-kira enam tahun lalu dan kanak-kanak itu kini dijaga anak bongsu arwah, Noratikah A. Halim, 25.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Noratikah berkata, ibu kandung Nur Alya Azmina Lyana bernama Stella Dian, berketurunan Iban dari Sabah, seorang mualaf dan dipercayai tinggal di Kuala Lumpur.

Katanya, selepas dimaklumkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebarang urusan membuat MyKad perlu dilakukan oleh ibu kandung, mereka segera mencari Stella di Kuala Lumpur namun gagal.

“Kami mengenali Stella melalui kakak saya yang bekerja di Kuala Lumpur. Seminggu sebelum bersalin, dia datang ke rumah kami dan telah memeluk Islam.

“Selepas selamat bersalin dan selesai urusan membuat surat beranak, Stella serahkan anaknya kepada kami dan keluar dari rumah tanpa khabar berita sehingga sekarang,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Kata Noratikah, dia kini kebingungan memikirkan nasib Nur Alya Azmina Lyana dan sebagai ikhtiar, keluarganya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu semalam selain menguar-uarkan perkara itu kepada akhbar.

Orang ramai yang ingin membantu melancarkan urusan kanak-kanak ini atau mempunyai sebarang maklumat mengenai ibu kandungnya boleh menghubungi Noratikah sendiri di talian 017-9771761. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini