PETALING JAYA: Kumpulan Penolong Pegawai Perubatan (PPP) lantikan kontrak tetap menghantar petisyen kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin untuk memperjuangkan nasib mereka.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, wakil PPP Kontrak, Mohamad Najmie Mohd. Haidir berkata, tujuan utama petisyen itu adalah memohon agar semua 3,400 PPP Kementerian Kesihatan mendapat lantikan tetap.
Menurutnya, pihaknya juga meminta Khairy memberi pertimbangan dan melihat isu yang melibatkan PPP swasta yang ketika ini turut berdepan masalah lantikan.
“Sepatutnya dihantar minggu lalu namun ditangguhkan kerana pada ketika itu terdapat mogok daripada kumpulan pekerja pembersihan hospital,” katanya ketika dihubungi semalam.
Sebelum ini, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) bersetuju meluluskan pelantikan semula kontrak kepada 1,243 Penolong Pegawai Perubatan (PPP) Gred U29 yang tamat kontrak pada 2 Februari lalu.
Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Mohd. Shafiq Abdullah dilaporkan berkata, kelulusan itu diberikan pada 26 dan 28 Januari lalu untuk PPP Gred U29 dalam kalangan graduan Institut Latihan KKM.
Katanya, tawaran perlanjutan kontrak bagi kohort lain yang tamat kontrak dalam tahun 2022 akan dibuat secara berfasa sebaik perakuan KKM diluluskan oleh agensi pusat dan SPA.
Menurut Mohamad Najmie, pihaknya akan terus berjuang untuk mendapatkan lantikan tetap kerana perkara berkenaan telah diputuskan sebelum ini sebelum ia ditangguhkan atas faktor tertentu oleh kerajaan. – UTUSAN ONLINE










