PETALING JAYA: Mekanisme pampasan untuk jemaah perlu diberi keterangan semula daripada setiap aspek kerana kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary menimbulkan pelbagai soalan dan perdebatan.
Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (Papuh), Datuk Seri Razali Mohd. Sham berkata, sehingga tiada pengumuman mekanisme berhubung pengumuman pampasan kepada jemaah umrah yang terpaksa menangguhkan ke Mekah.
Beliau berkata, pihaknya musykil dengan kenyataan itu yang seolah-olah menimbulkan lebih persoalan dan kekeliruan berbanding nilai pampasan kononnya diterima jemaah.

“Kalau jemaah dapat pampasan dan mereka juga dapat bayaran semula daripada pengendali umrah, mereka juga dapat dua kali bayaran.
“Tetapi apa nasib kepada syarikat pengendali umrah, sudahlah perlu mengembalikan bayaran tetapi tidak mendapat pembelaan daripada kerajaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Terdahulu, Ahmad Marzuk yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa memaklumkan kerajaan akan memberi pampasan kepada jemaah yang terkesan disebabkan penutupan sementara sempadan negara bermula 8 Januari lalu iaitu sebanyak 50 hingga 60 peratus daripada kos.
Senada dengan itu, Pengarah Eksekutif Wira Saujana Travel & Tours, Mohammad Adzri Othman berkata, kaedah pemberian pampasan perlu diperinci dari sudut kriteria pemberian dan penerimaan wang tersebut.
“Pemberian pampasan itu memang wajar. Namun kaedah pemberian itu masih samar-samar dan perlu diperjelaskan.
“Saya juga berpendapat, kami sebagai agensi terlibat perlu juga diberikan pampasan selepas pelbagai penutupan dilakukan,” ujarnya.
Sementara itu, seorang jemaah yang terkesan disebabkan penangguhan umrah, Anuaruddin Usoff Asshafie, 46, menyambut baik langkah kerajaan yang ingin memberi pampasan kepada jemaah terlibat.
“Pampasan ini tentunya akan mengurangkan beban kos ditanggung oleh kami sebagai jemaah yang terkesan akibat penangguhan tempoh hari dan ia akan membantu melegakan tekanan perasaan para jamaah,” jelasnya.











