SEPANG: Tidak sabar untuk menunaikan ibadah umrah dan pada masa sama bersiap sedia dengan segala kemungkinan.
Itu antara reaksi bakal jemaah umrah tempatan yang akan berlepas ke Tanah Suci Mekah selepas kerajaan membenarkan semula perjalanan ibadah itu, bermula hari ini.
Bagi Sabree Ahmad, 63, berasal dari Bota, Perak, dia sedar kenaikan mendadak kes Covid-19 ketika ini, namun hanya mampu berserah dan tawakal kepada Allah SWT.
“Saya dan isteri, Che Yoon Abu Hassan, 63, mengambil peluang untuk menunaikan ibadah kali ini kerana mahu melepaskan rindu terhadap tanah suci,” katanya ketika ditemui di Balai Pelepasan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pagi semalam.
Katanya, dia dan isteri juga sudah mengambil dos penggalak bagi memenuhi syarat ditetapkan oleh agensi umrah.
Sabree berkata, dia dan isteri sepatutnya berlepas pada 8 Januari lalu, namun ditunda susulan penangguhan ibadah umrah oleh kerajaan.
Sementara itu, Kassim Yunan, 64, ketika ditemui bersyukur kerana berpeluang menunaikan ibadah umrah selepas dua kali tertangguh sejak dua tahun lalu.
Katanya, dia bersama isteri, Salmah Mat Amin, 57, dan anak lelaki, Mohd. Amirul Iman, 26, sepatutnya berlepas ke Mekah pada 14 Mac 2020, namun terpaksa ditunda akibat penutupan ibadah umrah oleh Arab Saudi dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Saya juga terpaksa menangguhkan ibadah umrah buat kali kedua memandangkan anak dan isteri belum melengkapkan dos penggalak.
“Bagaimanapun, dua minggu lalu, kami ditawarkan untuk berlepas ke tanah suci semalam,” katanya.
Katanya, dia akui turut bimbang dengan perkembangan terkini penularan kes Covid-19, namun hanya mampu berserah dan reda dengan segala ketentuan.
Kassim berkata, dia juga sudah menyediakan kos tambahan bagi menampung sebarang kos sampingan lain termasuk membabitkan pusat kuarantin dan ujian kit Ujian Pantas Tindak Balas Berangkai Polimerase (RT-PCR).
Kerajaan sebelum ini menangguhkan sementara kebenaran perjalanan umrah bermula 8 Januari berikutan peningkatan kes varian Omicron dalam kalangan jemaah umrah.











