SEREMBAN: Garden Avenue, Taman Forest Heights, Bandar Ainsdale, Taman Bandar Springhill, Taman Lavender Heights dan PD Waterfront.
Itu sekadar sebahagian nama-nama taman perumahan dan projek komersial di Negeri Sembilan yang ‘mengangkat’ penggunaan bahasa Inggeris.
Pengambilan nama asing tersebut berbanding penggunaan bahasa Melayu dan nama-nama tempatan untuk nama taman perumahan dan projek komersial sering menjadi pilihan pihak pemaju sejak kebelakangan ini.
Tentulah ia tidak hanya berlaku di Negeri Sembilan, tetapi sebagai negeri yang terkenal dengan adat dan budayanya, isu tersebut mendukacitakan.
Tokoh Warisan Kebangsaan Orang Hidup (Teromba Penglipur Lara), Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Rosli Saludin berpandangan, situasi itu boleh dielakkan jika pihak berkuasa tempatan (PBT) yang bertanggungjawab, dapat lebih cakna dalam soal kepentingan bahasa Melayu, warisan dan budaya tempatan.
“Mesti ada jati diri dan kita perlu ada sesuatu yang dibanggakan. Ia bukan semestinya digunakan nama-nama berbahasa Melayu sahaja malah nama-nama tokoh hebat yang pernah berjasa di negara kita yang tidak kira kaum juga boleh diberikan tempat.
“Nama-nama yang dipilih ini adalah melambangkan identiti, ia berbalik kepada kesedaran. Bukan tiada nama-nama Melayu yang digunakan namun perlu dipertingkat,” kata beliau kepada Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, Mohd. Rosli yang sering menjadi tokoh rujukan dalam soal Adat Pepatih turut menolak alasan penggunaan nama Inggeris untuk projek perumahan dan komersial adalah untuk tujuan komersial.
“Saya tolak mentah-mentah, sebab melihat daripada sudut masyarakat luar, mereka juga saya yakin tidak mahu mengambil berat soal itu. Tentunya mereka mahu melihat keunikan dan kelainan yang ada pada kita.
“PBT yang bertanggungjawab memberi kelulusan penggunaan nama-nama ini perlulah juga merujuk kepada golongan budayawan, mereka ini bukan mahu wang cuma apabila pandangan mereka itu diterima tentu ia sesuatu yang boleh dibanggakan,” kata beliau.
Sementara itu, penyelidik bebas dan budaya Negeri Sembilan, Mohd. Khairil Hisham Mohd. Ashaari berkata, satu garis panduan perlu ada di peringkat kerajaan negeri supaya setiap pemaju yang ingin membangunkan sesuatu projek perlu mengutamakan bahasa Melayu sebagai nama projek berkenaan.
“Kita mahu salahkan pemaju 100 peratus dalam hal ini juga tidak boleh kerana mereka mahu komersialkan tempat itu tetapi kita boleh diusahakan dengan syarat-syarat yang ditetapkan dan ia mesti diikuti oleh pemaju.
“Saya faham ada sesetengah tempat yang boleh digunakan bahasa Inggeris namun bagi taman-taman perumahan tentunya kita perlu gunakan bahasa Melayu. Banyak perkataan-perkataan yang menarik boleh digunakan dalam bahasa Melayu malah nama-nama tokoh di Negeri Sembilan juga tidak kurang boleh digunakan,” katanya.
Hujung tahun lalu, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim membidas sikap segelintir pihak berkuasa yang menutup sebelah mata dalam mengetengahkan penggunaan bahasa Melayu.
Beliau menyeru mana-mana pihak terutamanya PBT supaya usah terlalu teruja dengan penamaan nama-nama tempat dalam negara dengan menggunakan Bahasa Inggeris sehingga melupakan bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan. – UTUSAN ONLINE











