ANALISIS
Guan Eng dalam majlis pengumuman calon pertama daripada parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ada menyebut mereka akan menggunakan logo Pakatan Harapan (PH) bersama dengan semua parti yang sehaluan dengan PH.
Perkataan ‘sehaluan’ yang disebut Guan Eng menjadi perhatian kerana dalam soal logo semua sudah mengetahui PKR akan menggunakan lambang parti mereka sendiri. Apakah beliau maksudkan
PKR sudah tidak sehaluan lagi walaupun berada di bawah khemah PH?
Ketika DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) mula mengumumkan calon masing-masing, PKR pula sedang memuktamadkan calon-calon mereka dan mungkin akan umum separuh dahulu.
Malah, dalam sesi pengumuman calon PH tempoh hari tidak kelihatan pula wakil atau pimpinan tertinggi PKR di peringkat pusat ada bersama-sama untuk memperkenalkan calon PH kepada para pengundi di kawasan tersebut.
Sedangkan bukan sahaja Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu berada di Johor, malahan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi PH turut berada di negeri itu ketika kedua-dua majlis pengumuman pertama dibuat.
Mungkinkah DAP, Amanah dan PKR akan bergerak secara berasingan sepanjang kempen PRN Johor sehingga ke hari pembuangan undi kelak walaupun masing-masing merupakan parti komponen dalam PH.
Untuk rekod, DAP kini sudah menamakan tiga wakil mereka untuk bertanding dalam PRN Johor. Mereka ialah Sheikh Umar Bagharib Ali, Chew Chong Sin dan Gan Peck Cheng yang akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh, Mengkibol dan Penggaram.
Sheikh Umar bukan sahaja menjadi individu pertama daripada PH yang disahkan akan bertanding tetapi beliau juga calon pertama yang dinamakan dalam PRN Johor yang berkemungkinan diadakan Mac ini.
Tetapi untuk calon Amanah di kerusi DUN Mahkota dalam Parlimen Kluang, PH mengesahkan tidak mencalonkan lagi penyandangnya, Muhammad Said Jonit yang meraih 19,507 undi dengan kelebihan 1,668 undi majoriti mengatasi pencabarnya dalam PRU-14.
Adakah kerana Muhammad Said sudah tidak bersama dengan Amanah lagi dan kini menyertai PKR menyebabkan namanya tidak diangkat semula atau pun memang PH mahu memberi ruang kepada muka baharu. Itu tidak dapat dipastikan.
Namun, pengganti Muhammad Said iaitu Muhammad Taqiudin Cheman pula boleh dikatakan bukan muka baharu juga kerana beliau ‘diimport’ dari Pulai Sebatang, Pontian. Beliau sebelum ini
ADUN di kawasan itu yang pertama kali dimenanginya pada 2018.
Dalam PRU-14, DAP memenangi 14 kerusi yang ditandingi termasuk Jementah, Bekok, Tangkak dan kerusi-kerusi bandar di Johor Bahru, manakala sembilan kerusi menjadi milik Amanah serta empat PKR.
Bagaimanapun, penyertaan Muhammad Said dan dua lagi bekas ADUN Amanah, Khairudddin A. Rahim (Senggarang) dan Faizul Amri Adnan (Serom) menjadikan PKR berkelebihan satu kerusi berbanding Amanah ketika ini iaitu masing-masing tujuh dan enam kerusi.
Namun, dalam PRN Johor, mereka sudah mengumumkan pembahagian kerusi yang dipersetujui iatu masing-masing 20 untuk PKR dan Amanah serta 16 lagi akan diisi calon DAP.
Tetapi, kini dengan rundingan bersama Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang dikatakan masih berjalan ada parti yang perlu mengorbankan kuota mereka untuk diberi kepada parti pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang dikhabarkan mahu sekurang-kurangnya 10 kerusi untuk Muda.
Adakah PKR akan tersisih demi memberi laluan kepada Muda, atau pun DAP dan Amanah sanggup mengalah hanya akan diketahui menjelang hari penamaan calon. Tetapi apa yang pasti DAP dan Amanah kini semakin rancak mengumumkan calon mereka.











