Nafi warga asing monopoli Chow Kit - Utusan Malaysia

Nafi warga asing monopoli Chow Kit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Me­layu Wilayah Persekutuan (PPPKMWP) menafikan keberadaan peniaga atau penjaja warga ­asing di Pasar Chow Kit atau dikenali sebagai Pasar Raja Bot yang kembali beroperasi.

Setiausaha Agung PPPKMWP, Sharin Darus berkata, pihaknya menolak dakwaan wujud kelompok warga asing yang memonopoli pusat dagangan itu hingga mengganggu penjaja tempatan lain.

Katanya, kelompok peniaga warga asing yang menyewa tapak secara haram hanya wujud sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan bukan pada waktu ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Untuk mengekang masalah ini daripada berulang, PPPKMWP bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Dang Wangi serta persatuan lain sentiasa melakukan pemantauan dari semasa ke semasa.

“Seramai 14 petugas daripada PPPKMWP ditugaskan setiap hari untuk menjaga aktiviti keluar masuk di sini dan menjaga SOP setiap pelanggan yang hadir untuk membeli barang dagangan. Jadi saya menafikan perkara dakwaan itu,” katanya ketika dihubungi.

Sabtu lalu, akhbar ini melaporkan terdapat lambakan peniaga asing di pasar borong itu yang kebanyakannya terdiri daripada warga Indonesia manakala pekerja asingnya pula daripada etnik Rohingya dan Bangladesh.

Malah, semasa tinjauan terdapat beberapa peniaga mengeluh kerana perniagaan mereka terjejas berikutan kebanjiran sebanyak 90 peratus warga asing dan terdapat pihak ‘menjaga’ mereka.

Mengulas dakwaan peniaga itu, Sharin yang juga Ketua Cawangan PPPKMWP Raja Bot berkata, tiada peniaga warga asing di pasar tersebut tetapi hanya sebilangan orang luar dijadikan sebagai pekerja oleh warga tempatan kerana kekurangan tenaga kerja untuk menjalankan operasi.

Jelasnya, selepas tamat tempoh pelaksanaan PKP, lebih ramai peniaga tempatan menjalankan aktiviti dagangan dengan sokongan DBKL memberi lesen Wilayah Bebas Berniaga (WBB)-(KL Prihatin).

“Jika pelesen atau peniaga tempatan menyewakan tapak niaga kepada warga asing atau tidak menjalankan operasi dagangan untuk tempoh masa tertentu, tapak mereka disita dan diberikan kepada warga tempatan lain yang berhak,” ujarnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini