Isu integriti: Lima pegawai Mara buat laporan polis dakwa difitnah -

Isu integriti: Lima pegawai Mara buat laporan polis dakwa difitnah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lima pegawai Mara menafikkan terlibat dengan isu integriti dan salah guna kuasa membabitkan anak syarikat agensi itu, Mara Corporation (Mara Corp.) melalui pendedahan dokumen oleh Edisi Siasat sehingga tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Susulan itu, kelima-lima mereka membuat laporan polis secara berasingan di Balai Polis Dang Wangi hari ini.

Selain itu, mereka turut mendawa individu menandatangani dokumen itu melakukan fitnah terhadap mereka.

Memuatkan artikel berkaitan…

Seorang daripada mereka dalam laporannya mendakwa,  pegawai Mara Corp. mengesan satu isu dalaman membabitkan penanda tangan dokumen itu berkaitan penyalahgunaan kad kredit korporat syarikat.

“Siasatan dijalankan sejak awal tahun lalu mendapati penanda tangan dokumen itu melanggar polisi penggunaan kemudahan dengan menggunakan kad kredit itu untuk aktiviti politik serta peribadi beliau,” dakwanya lagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Noor Dellhan Yahaya, mengesahkan menerima laporan berkenaan dan siasatan sedang dijalankan.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Kertas Inkuiri Polis (KEP) dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi arahan lanjut.

Kelmarin, tular di media sosial satu dokumen berbentuk surat permohonan untuk melakukan siasatan terhadap lima pegawai tinggi Mara.

Pendedahan itu dibuat Edisi Siasat menerusi ciapannya berkenaan enam surat membabitkan integriti pegawai Mara.

Surat bertarikh 30 Januari didakwa pemilik akaun Twitter terbabit, dihantar oleh Pengerusi Eksekutif Mara Corp., Datuk Suhaili Abdul Rahman kepada Pengerusi Mara, Datuk Seri Azizah Mohd. Dun.

Sementara itu, Azizah menafikan berlaku salah guna kuasa atau urus tadbir dalam agensi berkenaan dan anak syarikatnya, seperti didakwa.

Beliau dipetik sebagai berkata, pihaknya tidak memandang ringan dakwaan itu dan tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana individu terbabit dalam salah guna kuasa atau tidak berintegriti.

Katanya, pihaknya juga memandang serius terhadap penyebaran dokumen pentadbiran dalaman kepada pihak awam sehingga menimbulkan persepsi negatif terhadap Mara dan anak syarikat berkaitan.

Dalam pada itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan akan memulakan siasatan berkenaan isu berkenaan esok.

“SPRM memandang serius dakwaan wujud isu integriti membabitkan beberapa pegawai kanan Mara yang sedang disiasat secara dalaman oleh agensi berkenaan.

“Susulan itu, SPRM telah menerima satu aduan berkaitan isu ini dan akan memulakan siasatan pada Isnin mengambil keterangan beberapa saksi daripada Mara Corporation,” katanya. –UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×