Syedot ASMR kembar makanan - Utusan Malaysia

Syedot ASMR kembar makanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Apabila terdengar sahaja perkataan Mukbang, pasti yang keluar dalam fikiran, bunyi orang sedang mengunyah makanan.

Buka sahaja saluran YouTube, pasti akan melihat ramainya orang di seluruh dunia berkongsi video sedang makan pelbagai jenis makanan.

Malaysia tidak terkecuali ada juga penghasil konten makanan atau Youtuber Mukbang yang mempunyai ramai pengikut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Syedot ASMR adalah antara Youtuber yang tidak perlu diperkenalkan lagi dalam kalangan pengikut dan penggemar video mukbang.

Tidak mahu berkongsi nama sebenar dan lebih selesa dengan panggilan Syedot ASMR, sehingga artikel ini ditulis anak muda berasal dari Kuala Lumpur ada sebab memilih untuk menjadi Youtuber.

“Saya suka makan dan suka berkongsi dengan orang ramai apa yang dimakan sebab itu saya buat konten sebegini,” ringkas katanya kepada Utusan Malaysia.

Syedot ASMR berkata, idea membuat konten video mukbang tercetus selepas dia tamat pengajian dan menerima Ijazah dalam bidang perfileman daripada salah sebuah institusi pengajian tinggi.

“Saya mahu berniaga secara kecil-kecilan dengan menjual kerepek pisang bersalut coklat. Tetapi saya tidak tahu bagaimana mahu memasarkannya. Kebetulan pula masa itu, dunia sedang hangat dan trending mengenai Mukbang dan ASMR ini.

“Saya pun cuba buat konten makanan. Pada masa sama saya ingin menjual produk saya itu. Tidak sangka video pertama memakan ayam goreng sebuah jenama popular viral di Facebook, Twitter dan Instagram,” katanya.

Menjadi Youtuber sejak 2018, katanya dalam setiap videonya, dia akan menambah bunyi ASMR (makan dengan bunyi rangup ketika makan), menyebabkan ramai memanggilnya Syedot ASMR dan gelaran nama itu melekat hingga kini.

Dia memiliki hampir sejuta pengikut di saluran Youtuber Syedot ASMR.

KONSEP BAHARU
Mengulas mengenai perkembangan terkininya, Syedot ASMR berkata, dia tidak lagi mahu membuat Mukbang dan ASMR sebaliknya ingin mengubah konsep dengan lebih menumpukan perhatian terhadap vlog makan dan vlog food review.

Berkongsi pengalaman, katanya sewaktu mula-mula membuat video Mukbang, segala kos pembelian makanan ditanggung sendiri.

Namun setelah dikenali ramai, ada masanya dia akan melakukan paid review apabila ada pihak yang mahu dia memperkenalkan dan memasarkan sesuatu jenis makanan.

“Alhamdulillah hasil pendapatan tidaklah banyak mana. Namun saya pun bekerja macam waktu pejabat. Cuma bezanya adalah jadual waktu bekerja,” katanya yang enggan mendedahkan pendapatan diterimanya hasil perkongsian videonya itu.

LALI KECAMAN
Bergelar Youtuber ada pahit dan manisnya. Pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh Syedot adalah apabila video perkongsiannya mendapat kecaman, terutamanya pada tahun awal pembabitannya dalam pembikinan video makan itu.

“Sekitar 2018 ramai yang tidak mengetahui apa itu Mukbang dan ASMR. Apabila saya merupakan orang pertama yang membawa konsep ini di Malaysia memang dapat banyak kecaman.

“Antara kecaman itu adalah saya dikatakan makan macam khinzir. Walhal saya makan sentiasa tutup mulut. Bukannya saya makan chup chap chup chap bunyi air liur buka tutup buka tutup mulut ketika makan.

“Tetapi, Alhamdulillah setahun kemudian ramai yang dapat membezakan makan berbunyi yang chup chap chup chap dengan makan tutup mulut,” katanya.

Di sebalik kecaman diterima ada juga sokongan yang tidak disangka-sangka, yang telah menaikkan semangatnya untuk tetap meneruskan perkongsian konten mempopularkan namanya di alam maya.

“Saya akan terus membuat konten. Saya tidak akan berhenti. Sebabnya ramai ibu bapa yang direct message (DM) kepada saya di Instagram, memberitahu bahawa anak mereka tidak makan nasi, sayur dan sebagainya.

“Tetapi apabila melihat video saya, anak mereka mampu makan makanan tersebut walaupun video saya makan itu berlainan daripada makanan yang mereka makan,” katanya.

Mengenai pengalaman paling menyentuh perasaannya sepanjang menghasilkan video makan ialah bila ada orang tidak dikenali DM dirinya memberitahu emaknya pesakit kanser tahap akhir berada di hospital dan tidak mampu makan.

“Anaknya telah memberikan video saya kepada emaknya untuk menonton dan emaknya mampu makan semula. Anaknya itu telah chat saya di DM selepas pemergian emaknya,” katanya.

Syedot berkata, ada juga kes melibatkan kemalangan kereta dan motor di mana mangsa itu tidak makan.

“Apabila mereka melihat video saya makan, mulalah mereka naik selera dan mahu makan,” katanya.

Kalau sudah namanya Youtuber, sudah pasti Syedot turut gemar menonton konten orang lain. Hal ini diakui Syedot. Katanya dia lebih gemar menonton video mukbang dari Korea.

“Sebabnya cara makan orang Korea lebih sopan dan teratur. Begitu juga dari segi mereka menghias, menyusun atur dan tatacara makanan itu lebih baik jika dibandingkan dengan video dari Barat,” katanya.

‘Saya bukan buruk lantak’

REAKSI makan ditonjolkan Syedot dalam videonya asli atau lakonan? Ujar Syedot sambil berlawak, setakat ini tidak ada lagi makanan yang dia kurang minat.

“Saya hanya tolak batu dan kayu sahaja. Kalau batu kayu boleh makan, teringin juga cuba,” katanya.

Suka makan tidak bermakna Syedot suka orang mengatanya buruk lantak. Youtuber sepenuh masa ini agak terasa hati apabila ada yang memberi komen sebegitu.

“Mula-mula saya masuk bidang ini memang sedikit marah, kecewa dan sensitif. Tetapi lama-kelamaan saya sedar tanpa haters siapalah saya sekarang.

“Kenapa saya kata begitu? Disebabkan pada awal 2018 saya buat video ramai benci saya. Tapi pada masa ke semasa mereka ketagih dan kerap menonton video sambil memberi komen negatif.

“Saya pernah membuat live soal jawab, ramai yang mengakui bahawa dahulu dia benci saya tetapi sekarang suka. Bak kata pepatah tak kenal maka tak cinta. Tanpa sedar mereka bertukar jadi suka,” katanya.

Makan banyak tidak pernah membuatkan Syedot lupa diri untuk menjaga tahap kesihatan.

“Saya amalkan jogging tiga hingga lima kilometer setiap hari. Selain itu saya mengamalkan pengambilan fiber. Semasa PKP ia berubah sedikit kerana tidak dapat keluar rumah. Buat masa ini saya lebihkan pergi gim sekurang-kurangnya tiga hingga empat kali seminggu,” katanya.

Jadi diri sendiri
Bagi yang ingin mengikut jejak langkah Syedot sebagai Youtuber, nasihatnya, jadilah diri sendiri dan buat konten apa yang anda minat.

“Sentiasa kaji cara Youtuber sedia ada yang sama niche ingin anda lakukan kerana ia mampu menambah baik kemahiran,” katanya.

Mengakui menjadi Youtuber atau penghasil kandungan ada potensi untuk dijadikan sebagai kerjaya.

“Potensi kerja sebagai Youtuber adalah sama sahaja seperti berada dalam bidang production iaitu menghasilkan video untuk penonton. Apa yang membezakannya adalah Youtube tempat pembikinan video yang bebas tanpa sekatan seperti di dalam produksi yang mempunyai censorship,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×