JOHOR BAHRU: Pergerakan Pemuda UMNO Johor mahu sekurang-kurangnya 30 peratus pemimpin atau ahli daripada sayap itu sebagai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak lama lagi.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Ketua Pemuda UMNO negeri, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, permintaan itu dilihat bersesuaian dengan pelaksanaan PRN Johor yang menyaksikan pertambahan bilangan pengundi baharu termasuk menerusi Undi-18.
“Pemuda UMNO Johor mengharapkan seramai 50 peratus calon muda daripada sayap ini dibariskan dalam kerusi ditandingi UMNO, tetapi kita tahu ia sukar kerana sayap Wanita dan Puteri juga mahu meletakkan calon mereka.
“Oleh itu, kita berharap antara 20 hingga 30 peratus calon daripada Pemuda UMNO Johor diberi peluang dalam PRN ini bagi memberi nafas dan idea baharu kepada parti dan kerajaan negeri yang akan ditubuhkan kelak.
“Perkara ini kita telah maklumkan kepada Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, kepemimpinan UMNO negeri dan Pusat. Jadi kita harap dapat dipertimbangkan,” jelasnya.
Sebelum ini, Pengerusi BN Johor, Datuk Hasni Mohammad memaklumkan gabungan itu belum lagi menentukan sebarang kuota atau peratus bagi memilih calon-calon muda atau baharu walaupun ada pandangan supaya menggunakan kaedah di Melaka dan Sarawak.
Hasni berkata, BN Johor tidak boleh menjadikan PRN Melaka dan Sarawak sebagai model bagi memilih calon memandangkan banyak perkara perlu dipertimbang sejajar dengan kepentingan negeri itu.
Sementara itu, tambah Mohd. Hairi, penglibatan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dalam PRN Johor dilihat tidak menjadi ancaman kepada UMNO, sebaliknya beliau percaya pengundi bijak membuat keputusan.
Mengulas desas-desus nama beliau sebagai antara calon muka baharu yang dipertaruhkan BN kali ini, Mohd. Hairi mengakui ada menawarkan diri untuk bertanding dalam pilihan raya tersebut.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) mana yang akan ditandingi kerana ia masih dalam peringkat perbincangan.
Selain Mohd. Hairi, nama Naib Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd. Fared Mohd. Khalid serta beberapa Ketua Pemuda Bahagian di negeri itu termasuk Exco Pemuda UMNO Pusat antara yang disebut-sebut berada dalam senarai tapisan. – UTUSAN ONLINE










