PETALING JAYA: Desas-desus kononnya Dr. Maszlee Malik adalah ‘calon bidan terjun’ dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak sama dengan keadaan dua bekas wakil rakyat UMNO ketika PRN Melaka yang melompat ke Pakatan Harapan (PH) kerana semata-mata mahu menjadi calon pilihan raya.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Otai Reformis, Abdul Razak Ismail berkata, walaupun Maszlee baharu sahaja tiga bulan menyertai PKR pada November tahun lalu, pemilihannya sebagai calon berdasarkan faktor kekuatan dan populariti sebagai bekas Menteri Pendidikan dan Ahli Parlimen Simpang Renggam.
Justeru kata beliau, tidak menjadi isu sekiranya Maszlee diketengahkan sebagai calon pilihan raya sekali gus layak dilantik sebagai Menteri Besar walaupun masih baharu dalam parti.
“Situasi ini berbeza dengan pemilihan dua bekas pemimpin UMNO, Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan ketika PRN Melaka lalu yang menerima tentangan hebat akar umbi PKR sekali gus menyaksikan kekalahan teruk. Ini kerana penyertaan mereka terlalu drastik apabila menyertai PH semata-mata kerana bertanding dalam pilihan raya.
“Maszlee bukan masuk PKR sebab pilihan raya, sebaliknya beliau masuk lebih awal sebelum desas-desus Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bakal dibubarkan. Jadi bukan hendak jadi calon atau kepentingan lain,” katanya.
Nama Maszlee sejak kebelakangan kini hangat diperkatakan apabila dikhabarkan bertanding di salah satu kawasan DUN ketika PRN Johor, malah beliau dikatakan calon Menteri Besar daripada PH sekiranya berjaya menang dalam pilihan raya berkenaan.
Abdul Razak berkata, Maszlee memang berasal daripada PH, namun disebabkan parti lamanya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memulakan Langkah Sheraton, beliau tidak ikut melompat sokong kerajaan, namun bergerak bebas dan terus menjadi pembangkang.
“Beliau bukan daripada UMNO, jadi tidak timbul isu sekiranya beliau menjadi calon dan diangkat menjadi Menteri Besar jika PH menang pilihan raya,” katanya. – UTUSAN ONLINE










