PETALING JAYA: Kemerosotan dalam peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang diduduki penghujung tahun lalu menimbulkan kebimbangan banyak pihak terhadap prestasi sebenar calon peperiksaan tersebut yang akan bermula tidak lama lagi.
Dengan tempoh belajar bersemuka di sekolah yang tinggal beberapa minggu sahaja lagi, ibu bapa dan pelajar berharap yang terbaik untuk peperiksaan awam itu dan peluang melanjutkan pengajian ke universiti tidak akan terjejas.
Difahamkan keputusan percubaan itu tidak memberangsangkan di kebanyakan sekolah harian ekoran pelbagai kekangan dihadapi pelajar ekoran pandemik Covid-19 yang melanda negara dan ketika ini pula berlaku peningkatan kluster pendidikan.
Peningkatan kluster tersebut turut mencetuskan persoalan kepada ibu bapa pelajar tentang kelas bersemuka akan diteruskan atau calon SPM hanya akan meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).
Seorang ibu calon SPM, Norzean Norzlan, 44, berkata, dengan tempoh kira-kira tiga minggu lagi, dia berharap kerajaan dapat membuat satu keputusan tepat bagi memastikan segala persediaan pelajar dan prestasi SPM tidak terjejas.
“Kami tertanya-tanya apa tindakan seterusnya jika kes terus naik? Adakah sekolah tutup dan guna PdPR sepenuhnya?
“Tinggal kurang sebulan lagi, apa yang diharapkan keputusan kerajaan selepas ini tidak lagi membebankan pelajar,” katanya ketika dihubungi semalam.
Bagi seorang bapa yang hanya mahu dikenali Hishammudi, 50, beliau mengakui anaknya tertekan menjelang SPM apabila terpaksa belajar secara dalam talian kerana tidak dapat bersemuka ekoran penutupan sekolah pada tahun lalu, malah perlu mengulangi sendirian tanpa bimbingan guru.
Katanya, walaupun prestasi akademik tidak terjejas, dia dan isteri terpaksa berkorban masa untuk memberikan sepenuh tumpuan kepada anak supaya sentiasa bersedia menduduki peperiksaan tersebut.
“Sepatutnya persediaan mengulang kaji perlu diadakan secara bersemuka, namun akibat sekolah ditutup, hanya dilakukan secara PdPR. Kita faham proses ini bukannya dapat memberikan pelajar menumpukan perhatian 100 peratus seperti dalam kelas,” katanya.
Dalam pada itu, Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, Kementerian Pendidikan harus sedar pelajar yang menduduki SPM tahun ini adalah pelajar yang telah ‘terkurung’ sejak berada di Tingkatan Empat.
“Walaupun ada yang telah bersedia untuk menduduki peperiksaan itu tetapi sebilangan besar adalah pelajar yang mempunyai kekangan dalam melaksanakan PdPR sebelum ini. Tempoh masa sepanjang dua tahun ini sangat mencabar dan ramai pelajar yang akui mereka tertekan.
“Bebanan para pelajar ini perlu diringankan. Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi harus bekerjasama untuk memastikan peluang anak-anak ini melanjutkan pelajaran ke menara gading sama seperti mereka yang terdahulu,” jelasnya.
Sementara itu, seorang guru Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) di Pulau Pinang berkata, keputusan percubaan SPM pelajarnya masih pada tahap seperti tahun-tahun sebelum ini.
Namun katanya, keputusan itu tidak boleh dijadikan sebagai pengukur kerana tahap soalannya masih pada tahap biasa dan tidak diuji sepenuhnya seperti peperiksaan SPM yang sebenar.
“Percubaan ni tak boleh dibandingkan lagi kerana yang buat soalan itu jabatan pendidikan di sesebuah negeri, jadi tahapnya itu masih tidak menyamai soalan sebenar.
“Namun, jika soalan percubaan SPM itu dikeluarkan kementerian, maka mungkin boleh dibuat perbandingan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Presiden Persatuan Ibu bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Datuk Dr.Mohamad Ali Hassan berharap agar perbincangan dapat diadakan dengan pelbagai pihak berkepentingan bagi menyelesaikan perkara ini.
Malah beliau menggesa satu keputusan dapat dibuat dengan mengambil kira pandangan pakar-pakar serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain. – UTUSAN











