PUTRAJAYA: Suami atau bekas suami berkahwin baharu antara alasan golongan itu culas membayar nafkah kepada bekas isteri dan anak-anak akibat tanggungan bertambah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Hakim Syarie, Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, ada antara kes juga suami atau bekas suami kurang berkemampuan kerana jumlah pendapatan yang sedikit selain tanggungan dan hutang terlalu banyak menyebabkan mereka sukar untuk menyediakan nafkah kepada anak atau isteri.
“Turut dikesan ialah hilang pekerjaan, kurang atau hilang upaya si suami atau bekas suami mengakibatkan mereka tidak mampu membayar nafkah,” katanya di sini semalam.
Utusan Malaysia kelmarin melaporkan, harta suami atau bekas suami yang culas membayar nafkah boleh disita atau dilelong, malah akaun mereka juga boleh dibekukan manakala pendapatan mereka ditahan.
Tuntutan itu boleh difailkan isteri atau bekas isteri di mahkamah syariah apabila suami atau bekas suami gagal melaksanakan tanggungjawab berhubung nafkah tertunggak yang jelas membelakangi perintah mahkamah serta dianggap menzalimi pasangan dan anak-anak .
Penguatkuasaan perintah nafkah secara hiwalah itu dilaksanakan berikutan 6,088 kes tunggakan nafkah di Mahkamah Syariah seluruh negara sejak 2017 hingga 2021 meliputi lima kes tunggakan nafkah dengan kes tertinggi melibatkan nafkah anak sebanyak 4,618 kes, diikuti nafkah mut’ah (686 kes), nafkah iddah (528 kes) dan nafkah isteri (256 kes) sepanjang tahun 2017 hingga 2021.
Tindakan sekatan akaun bank itu dibuat selepas pindaan terhadap Jadual 11 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dan Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 diluluskan serta digazetkan pada 10 Februari tahun lalu.
Menurut Mohd. Na’im yang juga Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), penguatkuasaan hiwalah melalui sekatan akaun setakat ini masih lagi tidak dapat dilaksanakan memandangkan ada kes defendan (suami) tiada akaun atau tidak ada duit dalam akaun mereka.
Beliau berkata, rentetan itu, penguatkuasaan dilaksanakan melalui sitaan harta suami dan jualan melalui lelongan dibuat.
“Pada masa ini terdapat enam kes melibatkan lelongan dan sitaan harta suami atau bekas suami.
“Nilai harta yang disita adalah bergantung jumlah nafkah yang tidak dibayar,” katanya. – UTUSAN











