PETALING JAYA: Melanggar lampu isyarat dan membuat pusingan U secara haram antara kesalahan dilakukan penunggang motosikal khidmat penghantaran (p-hailing) sehingga kira-kira 774 kemalangan dicatatkan dalam tempoh tiga tahun, sejak 2019 hingga 2021.
Tindakan membahayakan nyawa dan pengguna jalan raya itu dipercayai semata-mata untuk mengejar ‘trip’ dan ingin cepat sampai ke destinasi dituju bagi menghantar pesanan.
Malah, pelanggaran undang-undang melibatkan p-hailing tersebut mendapat perhatian orang ramai selain ada antaranya tular dalam media sosial.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim berkata, dalam tempoh tersebut, jumlah keseluruhan adalah melibatkan sebanyak 644 bagi sepanjang tahun 2021 manakala 120 (2020) dan 10 kes (2019).
Menurut beliau, bagi tahun lalu, sebanyak 51 kemalangan maut, cedera parah (42) dan ringan (551).
“Kita mendapati punca kemalangan sehingga mengorbankan nyawa p-hailing antaranya cuai ketika keluar atau masuk simpang, terbabas sendiri, makan jalan, melawan aliran trafik dan lain-lain.
“Selain itu, ada antara mereka kita kesan yang melanggar lampu isyarat, membuat pusingan secara haram malah menunggang dalam keadaan bahaya sambil memegang telefon bimbit. Tidak dinafikan tindakan ini dipercayai untuk cepat sampai ke lokasi tertentu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Dalam pada itu, Mat Kasim berkata, berdasarkan statistik pada tahun 2020, jumlah kemalangan maut p-hailing adalah 33 kes, parah (23) dan ringan (63).
Ujarnya, untuk tahun 2019, hanya tiga kes kemalangan maut dan tujuh cedera.
“Jika kita lihat statistik kes meningkat dari tahun 2019 hingga tahun lalu.
“Kita percaya data ini meningkat disebabkan permintaan tinggi pelanggan yang menggunakan p- hailing terutamanya ketika pandemik Covid-19,” ujar beliau. – UTUSAN ONLINE











