MERSING: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau, Alwiyah Talib menyatakan kesetiaannya bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak berubah.
Katanya, beliau mempunyai prinsip dalam perjuangan politik dan tidak akan meninggalkan Bersatu hanya kerana untuk bertanding pada PRN.
“Saya yakin dengan parti yang saya wakili dan jika nama saya dipilih sekali lagi untuk bertanding di DUN Endau, saya sudah bersedia. Jujurnya, saya masih ingin berkhidmat untuk rakyat di Endau kerana tempoh sebenar khidmat saya masih belum habis.
“Terserah kepada pucuk pimpinan parti dan sebagai penyandang, saya terima apa juga keputusan dengan hati terbuka dan yang penting kesetiaan saya pada parti tidak akan berubah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Alwiyah yang sebelum ini memenangi kerusi itu atas tiket UMNO sebelum melompat ke Bersatu bagi mengukuhkan kedudukan kerajaan negeri yang ketika itu ditadbir Pakatan Harapan (PH).
Alwiyah berkata, sepanjang menjalankan tugas sebagai ADUN sejak menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), dia diterima baik oleh rakyat malah tidak menghadapi masalah untuk berurusan dengan siapa sahaja.
“Saya telah dipilih sebagai ADUN Endau dan biarpun telah bertukar parti, tugas saya sebagai wakil rakyat tetap menjadi keutamaan tanpa mengira ideologi politik.
“Setakat hari ini, saya bersyukur kerana amanah yang diberi kepada saya dapat dilaksanakan sebaik mungkin walaupun tidak mencapai seratus peratus,” katanya. – UTUSAN











