PETALING JAYA: Malaysia berada di tempat ketujuh antara 20 negara yang paling banyak Tweet berkaitan K-Pop pada 2021.
Menurut Twitter, pada tahun lalu, Kpop merekodkan Tweet berjumlah 7.8 bilion di peringkat global, peningkatan daripada 6.7 bilion pada 2020.
Malah katanya, perbualan di #KpopTwitter sahaja merekodkan peningkakan sebanyak 16 peratus.
“Peminat K-Pop di Malaysia berjaya meletakkan Malaysia di tempat ketujuh bagi negara terbanyak Tweets berkaitan K-pop pada 2021 dan turut menjadikan BTS sebagai artis K-Pop yang sering dibicarakan.
“Menariknya, BTS ARMY di Malaysia turut menghulurkan bantuan kepada mereka yang terjejas akibat banjir pada Disember 2021,” katanya dalam kenyataan.
Menurut kenyataan itu, analisis di Twitter mendapati 20 negara dengan Tweet terbanyak tentang K-Pop, 20 negara dengan peminat K-Pop terbanyak, artis K-Pop paling popular dan juga artis baharu paling popular.
Jelasnya, dalam kalangan audiens dari seluruh dunia, Indonesia menjadi negara paling banyak Tweet berkaitan K-Pop untuk dua tahun berturut-turut.
Negara lain seperti Filipina, Korea, Thailand, Amerika Syarikat, Mexico, Brazil, India dan Jepun turut berada dalam kelompok 10 teratas, jelasnya.
“Tahun 2021 merupakan tahun yang mengagumkan terutama sekali terhadap artis-artis muda seperti ENHYPEN, Stray Kids, aespa dan ITZY yang telah menjalinkan hubungan bersama peminat-peminat mereka di Twitter.
“Tak lain dan tak bukan, ikon pop abad ke-21, BTS memegang takhta sebagai artis K-pop paling banyak di Tweet secara global. Konsert ‘BTS PERMISSION TO DANCE ON STAGE – LA’ telah menyumbang
sebanyak 68 juta Tweets di seluruh dunia. NCT berada di tempat kedua, dua tahun berturut-turut.
“Manakala di Malaysia pula, Komuniti K-Pop di Malaysia pula terdiri daripada pelbagai lapisan generasi kumpulan K-Pop. BTS sekali lagi berada di tempat pertama setelah mencuri hati ARMY di Malaysia dengan persembahan mereka yang mengagumkan,” katanya. – UTUSAN











