Pembangkang terus desak Speaker benarkan usul Azam Baki dibahas di Parlimen - Utusan Malaysia

Pembangkang terus desak Speaker benarkan usul Azam Baki dibahas di Parlimen

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pembangkang terus mendesak Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun membenarkan usul pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dibahaskan dalam sidang Parlimen 28 Februari ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, Azhar sepatutnya mengambil sikap berkecuali dan bukan menidakkan usul hanya kerana ia tidak dimasukkan dalam aturan mesyuarat.

Sedangkan, katanya, isu itu hanya boleh diselesaikan jika Azhar membenarkan usul Azam dibahaskan di Parlimen.

“Terlalu banyak tanda tanya apabila Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengeluarkan kenyataan berbeza pada dua hari yang berbeza, satu tidak konklusif, sehari kemudian kata konklusif. Ini menunjukkan imej yang sangat buruk dan hilangnya integriti SC.

“Jadi, cara terbaik adalah siasatan bebas di Parlimen. Tetapi Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) juga menangguhkan mesyuarat, ini memberi bayangan ada usaha cuba tutup kes Azam.

“Sidang khas Parlimen juga sepatutnya menerima usul Azam dibenarkan, tetapi Speaker seolah-olah bersekongkol dan cuba menutup kes ini. Beliau sepatutnya neutral sebagai ketua Dewan Rakyat. Jadi, kita berharap 28 Februari ini, Speaker bersikap terbuka menerima usul Azam dibahas di Parlimen,” katanya.

Beliau mengulas tindakan Azhar menolak usul Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub bagi membincangkan isu pemilikan saham Azam di Dewan Rakyat, atas alasan agenda mesyuarat khas penggal keempat Parlimen Ke-14 hanya membincangkan isu berkaitan banjir.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, Speaker seharusnya berupaya untuk membenarkan usul tergempar dibahaskan.

“Kenyataan-kenyataan SC jelas menyatakan bahawa Azam tidak menguruskan akaunnya secara proksi tetapi secara tunggal. Jadi, adakah beliau berbohong adiknya yang menguruskan akaunnya? Takkan SC berbohong?

“Perkara ini perlukan penjelasan, sama ada beliau berbohong. Kita juga mahu tahu sumber pendapatannya datang dari mana, selain daripada gaji, elaun dan emolumennya.

“Sebab itu, kita mahukan siasatan bebas dan merehatkan Azam. Speaker sepatutnya boleh membenarkan usul tergempar, walaupun ada usul lain ketika itu. Namun, usul Azam ini akan kita bawa lagi ke Parlimen,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×