Banja Luka, kota kuno penuh keindahan - Utusan Malaysia

Banja Luka, kota kuno penuh keindahan

Masjid Ferhadiya antara masjid tercantik di Eropah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANJA Luka merupakan sebuah kota kuno yang didiami oleh bangsa Slav pada kurun keenam masihi. Kehebatan dan keagungan kota ini dicapai sewaktu penaklukan Empayar Turki Uthmaniyah yang bermula pada 1527.

Pelbagai jenis bangunan dan masjid telah dibina sehingga menjadikan kota ini sebagai pusat ekonomi dan ketenteraan utama Bosnia sewaktu itu. Setelah dikuasai Empayar Austria-Hungary pada 1878, Banja Luka segera berubah menjadi lebih moden dengan mengikut acuan gaya Eropah.

Campuran antara pengaruh Asia dan Eropah menjadi tanda istimewa bandar itu sehinggalah tragedi gempa bumi pada 1969 yang memusnahkan banyak bahagian di kota tersebut.

Namun tragedi itu tidak mengubah jolokan kota itu sebagai kota yang cantik serta penting dalam pelbagai aspek. Sekiranya melawat ke Bosnia, anda pasti teruja dengan segala rumah ibadat kuno, muzium-muzium dan alam semula jadinya yang indah persis lukisan berserta sejarahnya yang kaya.

Masjid Ferhadiya di Banja Luka sangat terkenal, ia disebut sebagai antara masjid yang tercantik di Eropah.

Apa yang lebih membanggakan lagi ialah kerajaan Malaysia dan kerajaan Melaka merupakan antara penyumbang pembangunan semula masjid ini sebaik sahaja peperangan tamat dulu.

SYURGA BELI BELAH
Rakyat Malaysia semestinya wajib mengambil peluang melawat kota ini sebaik sahaja tiba di bumi Bosnia kerana Banja Luka turut merupakan kota kedua terbesar di Bosnia. Di sana terdapat banyak muzium dan rumah ibadat orang Islam dan Kristian.

Selain itu, banyak kubu-kubu bersejarah dari pelbagai Empayar dan era boleh dilihat dan dipelajari.

Sekiranya anda merujuk ke peta Bosnia, kota Banja Luka ini terletak di sekitar lereng-lereng bukit semulajadi dengan dihiasi kecantikan sungai Vrbas yang mengalir di tengah bandar.
Sungai ini turut menjadi tarikan bagi mereka yang menggemari aktiviti kayak.

Seni bina bangunan di sana bukan calang-calang, ia begitu unik dan cantik seperti bangunan Banski Dvor yang asalnya dibina sebagai istana bagi gabenor tempatan, tetapi kini Banski Dvor diubah menjadi pusat kebudayaan.

Bangunan ini boleh dilawat pada bila-bila masa sahaja dan anda pasti akan teruja dengan keunikan silingnya yang tinggi serta lampu gantungnya yang sangat klasik.

Banyak sebenarnya fakta unik yang perlu dikaji dengan terperinci mengenai kota ini.

Bagi mereka yang gemar membeli belah, maka Banja Lukalah tempatnya kerana ia diberi jolokan syurga membeli belah melihatkan kewujudan banyak jenama-jenama antarabangsa yang terkenal di situ. Sekiranya menginginkan suasana yang tenang dan segar, anda boleh berehat sejenak di air terjun Krupa yang terletak jauh dari pusat kota.

Banja Luka merupakan antara kota yang terjejas sewaktu peperangan berlaku. Banyak bangunan bersejarah musnah dan rosak teruk, tidak terlepas juga rumah-rumah suci ibadat umat Islam sana.
Namun si pelakunya telah pun ditahan dan dipenjara sementara pihak pemerintah Banja Luka bersama-sama para penyumbang telah menanggung pembiayaan semula masjid-masjid yang telah musnah itu.

KOTA SELAMAT
Buat anda yang ingin melawat kota ini, usah risau kerana penduduk Banja Luka sangat peramah, bahkan boleh dikatakan antara yang paling ramah di Bosnia. Kemungkinan berlakunya sesuatu yang buruk ketika anda melawat kota ini sangat rendah.

Penduduk di sana tidak akan menyerang atau mengganggu seseorang hanya disebabkan faktor agama mahupun bangsa.

Sentimen perang Bosnia pada era 90-an dulu, menyebabkan ramai rakyat Malaysia mendapat gambaran salah tentang wilayah dikuasai sama ada dari golongan Serb atau Croat.

Ramai dalam kalangan umat Islam begitu terkesan dengan peristiwa tersebut sehinggakan melawat kota-kota tersebut dianggap satu jenayah dan berdosa.

Sebenarnya peristiwa pahit perang Bosnia tersebut sudah pun berlalu 25 tahun yang lalu.

Hari ini, segala-galanya sudah banyak berubah. Jangan disebabkan dendam dan parut peristiwa kelam itu, merugikan kita dalam mendapatkan ilmu dan menerokai khazanah yang tidak ternilai di kawasan-kawasan tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×