JOHOR BAHRU: Langkah Kerajaan Malaysia dan Singapura membenarkan semula penjualan tiket bas dan penerbangan bagi Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) melegakan pengembara yang mahu berulang alik antara kedua-dua negara berkenaan.
Walaupun kuota harian dikurangkan kepada 50 peratus berbanding jumlah sebelum ini, namun mereka menyifatkannya lebih baik berbanding tidak langsung dapat melakukan perjalanan.
Seorang rakyat Malaysia yang berada di Singapura, Muhammad Shafiq Nasiruddin, 33, berkata, ketika berita mengenai penggantungan sementara urusan penjualan tiket di bawah inisiatif itu diumumkan, mereka hanya mampu berdoa agar ia tidak menjejaskan rancangan pulang ke kampung.
“Alhamdulillah, syukur apabila kerajaan kedua-dua negara mengumumkan jualan tiket dibuka semula walaupun bukan lagi membenarkan perjalanan sehingga 1,440 orang sehari seperti sebelum ini.
“Bagi kami, walaupun turun sehingga 50 peratus sekurang-kurangnya kami dapat memohon juga untuk pulang bercuti di bawah VTL selepas lebih setahun tidak dapat pulang ekoran inisiatif yang lebih ketat dan menelan kos tinggi sebelum ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Penjualan tiket bas dan penerbangan bagi laluan VTL Malaysia-Singapura dibuka semula berkuat kuasa serta-merta selepas penilaian risiko dilaksanakan berdasarkan situasi Covid-19 semasa di kedua-dua negara.
Namun, buat masa ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kuota tiket yang dijual bermula hari ini dikurangkan 50 peratus daripada kuota sedia ada bagi kapasiti bas dan penerbangan.
Bagaimanapun penumpang yang telah membeli tiket bagi tarikh perjalanan selepas 20 Januari sebelum pengumuman penggantungan jualan tiket dibuat tetap dibenarkan meneruskan perjalanan menggunakan inisiatif itu mengikut kuota yang telah ditetapkan sebelum ini.
Pada 22 Disember lalu, Kementerian Kesihatan memutuskan menggantung sementara penjualan tiket bagi inisiatif VTL hingga kelmarin susulan kenyataan Kementerian Kesihatan Singapura berhubung satu kluster tempatan Covid-19 kemungkinan varian Omicron.
Sementara itu, seorang lagi pengembara, Syarifah Azreena Syed Azman, 17, berkata, mereka percaya kerajaan kedua-dua negara akan memastikan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dapat dipatuhi oleh semua di bawah inisiatif itu.
“Malah, kami yang terlibat dalam perjalanan ini pun sudah tentu mahu memastikan keadaan sepanjang perjalanan adalah selamat kerana ingin bertemu dengan orang tersayang yang sudah lama tidak berjumpa,” katanya.
Kata Syarifah Azreena, pengembara juga perlu memainkan peranan untuk tidak menjadi punca penularan dengan memastikan tahap kesihatan yang baik sebelum memulakan perjalanan sama ada menaiki bas dan kapal terbang yang dikhaskan untuk VTL. – UTUSAN











