PETALING JAYA: Mekanisme dan prosedur operasi standard (SOP) ibadah umrah umat Islam di negara ini boleh diperketat tetapi jangan sehingga ditangguhkan.
Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd., Datuk Md. Daud Che Ngah berkata, pihaknya menyambut baik dan akur dengan penangguhan ibadah tersebut selepas Kementerian Kesihatan dapat membuktikan penularan wabak Covid-19 varian Omicron meningkat dalam kalangan jemaah yang pulang daripada Arab Saudi.
Bagaimanapun, katanya, sekiranya perjalanan umrah ditutup berterusan tanpa SOP, maka sudah tentu agensi pelancongan yang terlibat bungkus dan menanggung kerugian yang bukan sedikit.
“Kita harapkan apa yang akan ditentukan nanti, kerajaan memandang semula dan tidak terus menutup urusan pelancongan khususnya mengerjakan umrah. Ini terutama buat mereka yang sudah menyimpan hasrat dan bersedia dalam tempoh selama dua tahun sebelum ini.
“Kedua kerana dari sudut agamanya, peluang menunaikan ibadah haji sememangnya kecil, jadi biarlah jemaah dapat menunaikan umrah terutama buat mereka yang berusia.
“Kita terima peraturan yang bakal diberi nanti, tetapi janganlah sehingga tutup terus perjalanan umrah. Buatlah SOP berat sekali pun dan kita sanggup, asalkan ada kebenaran untuk pergi menunaikan umrah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Kelmarin, akhbar melaporkan, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya komited memuktamadkan proses penilaian risiko dan SOP perjalanan umrah menjelang pertengahan Februari tahun ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kementerian sangat berharap semua pemain industri dapat memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan aktiviti umrah dapat terus dilaksanakan dengan selamat.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd. Sham berkata, pihaknya menyanjung tinggi efisiensi yang ditunjukkan Menteri Kesihatan dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan ibadah umrah tersebut.
Katanya, ini kerana Khairy dan kementeriannya mengambil berat industri pelancongan terutama agensi yang terlibat dalam mengendalikan perjalanan ibadah umrah.
“Satu perkara terbaik tentang Khairy adalah apabila kita suarakan (perbincangan bersama) dan dalam masa tiga hari sudah dapat berbincang bersama.
“Kita minta pembukaan secepat mungkin dan Khairy komited memuktamadkan proses penilaian risiko dan SOP perjalanan umrah menjelang pertengahan Februari, jadi perbincangan sangat positif,” jelasnya. – UTUSAN











