PETALING JAYA: Prestasi buruk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memberi peluang kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk kembali menguasai Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dengan undi majoriti yang lebih besar.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, geostrategis Prof. Dr. Azmi Hassan berkata, PRN Johor juga akan menentukan nasib Bersatu yang diterajui bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang mungkin mempertahankan kerusi DUN Gambir.
“Bersatu dan Pakatan Harapan (PH) dalam keadaan lemah terutama selepas PRN Melaka dan Sarawak. Jadi, UMNO melihat inilah masa terbaik untuk PRN Johor mahupun Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kerana kelemahan seteru mereka.
“Namun, PRN Johor berbeza dengan PRN Melaka kerana keputusannya nanti berkait rapat dengan pengaruh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Bukan sahaja akan menentukan nasib Bersatu tetapi Muhyiddin sebagai ahli politik dan Presiden Bersatu,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, jika UMNO meraih kemenangan selesa dalam PRN Johor, tiada sebab untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak membubarkan Parlimen.
“Jika UMNO melakar keputusan serupa di Melaka, maka sukar untuk Ismail Sabri tidak membubarkan Parlimen. Selepas Johor, tekanan lebih hebat, besar kemungkinan akan berlaku PRU-15,” katanya.
Sebanyak 56 kerusi dalam DUN Johor dengan 28 kerusi mewakili kerajaan yang terdiri daripada UMNO (14), MIC (dua), Bersatu (11), Pas (satu) manakala PH memiliki 27 kerusi yang terdiri daripada DAP (14 kerusi), PKR (tujuh kerusi) dan Amanah (enam kerusi).
Dalam pada itu, penganalisis keselamatan dan politik, Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin berpandangan, UMNO mempunyai kelebihan sebagai parti dominan dan mempunyai kekuatan akar umbi, sesuatu yang masih sukar ditandingi parti-parti lain termasuk Bersatu.
“UMNO adalah parti dominan, ada jentera, ada akar umbi dan mampu mengubah kedudukan serta struktur politik negara. Oleh itu, parti seperti Bersatu perlu buktikan mereka kekal relevan dalam politik negara kerana mereka tak boleh lawan kekuatan elemen kepartian yang ada pada UMNO,” katanya. – UTUSAN ONLINE










