KUANTAN: Perubahan fasa Covid-19 daripada pandemik ke endemik menuntut disiplin tinggi daripada seluruh rakyat supaya terus cakna dengan gejala jangkitan wabak berkenaan.
Sama ada mahu atau sebaliknya, masyarakat perlu menerima hakikat untuk terus hidup dengan Covid-19 seperti denggi dan selesema.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Perubahan Kesihatan Awam (Epidemiologi dan Biostatistik) Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Prof. Dr. Jamalludin Ab. Rahman berkata, untuk menuju ke fasa endemik, selain pengurangan tempoh kuarantin, jauh lebih penting daripada itu adalah rakyat perlu terus cakna tentang gejala Covid-19, berdisiplin dan jujur mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Beliau berkata, kit ujian kendiri Covid-19 semakin mudah didapati dan mampu dimiliki, bagaimanapun tanpa kejujuran serta disiplin, mungkin banyak kes tanpa gejala tetapi boleh menjangkiti tersebar dalam komuniti.
“Covid-19 tidak akan lenyap dengan cepat. Ia mungkin mengambil masa secara beransur-ansur tetapi dengan kerjasama semua masyarakat, akhirnya kita boleh bebas daripada jangkitan ini.
“Apa sahaja bentuk perhimpunan membawa risiko. Oleh itu, semua pihak berhati-hati dan terus memandang serius kebolehjangkitan Covid-19. Ini termasuk perhimpunan demi pilihan raya, sukan atau perhimpunan sosial yang lain.
“Kita (rakyat) tidak boleh selamanya bergantung pada undang-undang dan peraturan. Untuk mendapatkan kelestarian hidup, semua pihak harus bertanggung jawab,” katanya di sini semalam.
Jumaat lalu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dilaporkan sebagai berkata, peralihan negara kepada fasa endemik akan diumumkan dalam masa terdekat.
Hishammuddin berkata, pengumuman memasuki fasa endemik itu akan dibuat pada bila-bila masa memandangkan semua negeri sudah berada dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Mengulas lanjut, Dr. Jamalludin berkata, sebagai permulaan, mungkin apabila fasa endemik diisytiharkan, negara mempunyai definisi wabak dan bukan wabak untuk Covid-19.
“Sebagai contoh, denggi jika satu kes bukan lagi wabak. Kalau dua kes ke atas baru wabak. Untuk Covid-19, tidak ada lagi definisi sebegitu dan perlu ada jika telah diisytiharkan sebagai endemik,” katanya.
Beliau dalam pada itu berkata, kerajaan telah meletakkan beberapa indikator untuk menentukan fasa endemik mengguna pakai keupayaan persediaan dan maklum balas kepada jangkitan Covid-19.
Bagaimanapun, beliau berpandangan, istilah endemik yang digunakan kerajaan bukan dari istilah epidemiologi.
Katanya, definisi endemik dari segi epidemiologi ialah jangkitan yang sentiasa ada manakala hiperendemik menunjukkan paras jangkitan yang sentiasa tinggi di sesuatu lokasi atau populasi.
“Ciri khas endemik berbanding epidemik (wabak) ialah kebolehjangkaan. Contoh, jika seorang mendapat denggi dalam lokaliti beliau, itu dijangkakan kerana denggi adalah endemik di Malaysia.
“Tetapi apabila berlaku dua kes denggi dalam satu lokaliti, iaitu dalam radius 200 meter selama 14 hari, kita akan isytihar wabak denggi di situ. Untuk denggi tiada langkah pencegahan aktif dijalankan jika hanya satu kes dilaporkan,” katanya. – UTUSAN











