PRN Johor ‘penentu’ nasib Bersatu - Utusan Malaysia

PRN Johor ‘penentu’ nasib Bersatu

Azmi Hassan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor jika diadakan bakal memberi gambaran sebenar mengenai kedudukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.
Memberitahu Utusan Malaysia, penganalisis politik, Prof Dr. Azmi Hassan berkata, ini kerana Pengerusi Bersatu sendiri iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan Ahli Parlimen Pagoh sekali gus memberi gambaran sama ada parti itu diterima masyarakat ataupun tidak.

“Kalau dikatakan Melaka masih tidak mampu melemahkan Bersatu, saya melihat PRN Johor sudah hampir memberi gambaran sebenar tentang kedudukan Bersatu menghadapi PRU15. Ini kerana Pengerusi Bersatu adalah Ahli Parlimen Pagoh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir. Jadi, ini akan menunjukkan kedudukan dan gambaran yang lebih jelas.

“Saya yakin Tan Sri Muhyiddin juga akan bertanding di DUN dan keputusan yang akan diterima nanti bakal memberi gambaran kepada kedudukan Bersatu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Tambah beliau, sekarang adalah masa yang sesuai untuk mengadakan PRN Johor memandangkan kes Covid-19 semakin berkurangan serta bencana banjir yang semakin pulih.

Mengenai undi18 yang bakal dilaksanakan pada PRN Johor nanti, Azmi turut berkata, ia sudah pasti akan menjadi platform pertama yang membawa undi18 bagi menentukan kemenangan kepada sesebuah kerajaan negeri.

“SPR mengatakan 1.6 juta tambahan pengundi dan di setiap kawasan akan ada 10,000 ke 20,000 tambahan pengundi berusia 18 ke 21. Jika kesemua jumlah itu turun dan mengundi, ia akan memberi impak yang besar tetapi jika dilihat dalam media sosial, dalam keadaan toksik senario politik hari ini, pengundi muda sudah malas menjalankan tanggungjawab mereka kerana mungkin mereka tak akan keluar sebagai tanda protes terhadap apa yang berlaku sekarang.

“Jika lihat statistik di Melaka, sebanyak 30 peratus pengundi muda tidak keluar mengundi, dan jika ia berlaku di Johor, ia tidak akan memberi kesan kepada mereka yang bertanding kerana undi tersebut berpecah sebab kita tidak tahu pengundi muda ini cenderung ke arah siapa,” ujarnya lagi.
Seorang lagi penganalisis politik, Prof Dr. Awang Azman Awang Pawi turut berkata, PRN Johor merupakan ujian besar buat Bersatu sebagai gambaran untuk menghadapi PRU15.

Katanya ketika dihubungi, Bersatu tidak mempunyai cara selain memulakan perbincangan dengan UMNO untuk bekerjasama sekali gus memastikan kemenangan berada di tangan mereka.

“Mereka perlu ada perbincangan dari hati ke hati untuk pastikan kemenangan bersama sebab kita tahu Johor sudah pulih dari segi momentum politik mereka dan UMNO khususnya. Kita tahu tanpa UMNO, Bersatu sukar untuk memastikan kemenangan, maka mereka perlu bertolak ansur dan mengalah dalam beberapa perkara.

“Saya kira ia menjadi ujian besar kepada Bersatu sama ada mereka dapat meraih kemenangan lebih baik atau sebaliknya. Ujian kedua pula adalah mereka juga harus mengalah dengan UMNO pada PRU nanti kerana jika banyak sangat tuntutan, ia tidak akan digemari akar umbi UMNO,” katanya lagi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×