SEPANG: “Sedih terpaksa membuang buku pelajaran kerana rosak akibat banjir baru-baru ini dan sudah nak mula sekolah.”
Itu luahan seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dengkil di sini untuk menghadiri sesi persekolahan yang bermula esok.
Nur Marsya Farzana Samtidar, 16, yang juga pelajar tingkatan empat berkata, buku-buku yang rosak tersebut melibatkan buku teks, buku latihan selain buku rujukan dibeli sendiri.
Namun, situasi itu tidak sekali-kali mematahkan semangatnya untuk menghadiri sekolah selepas dia dan kelaurganya menjadi mangsa banjir.
“Boleh dikatakan berbelas-belas buku pelajaran termasuk buku rujukan yang rosak terendam air manakala lebih 20 buku tulis tidak boleh digunakan serta terpaksa dibuang.
“Ada buku yang saya rasa boleh digunakan, saya usaha dengan menjemurnya di luar rumah. Untuk buku teks yang rosak, saya sudah berikan nama kepada cikgu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Cemperai, Dengkil di sini semalam.
Dalam pada itu, anak kedua daripada empat beradik itu berkata, disebabkan ketiadaan buku-buku tersebut untuk sesi pembelajaran, dia akan merujuk topik yang diajar oleh guru menggunakan buku rujukan.
“Bukan saya sahaja, di dalam kelas saya kira-kira tujuh atau lapan orang pelajar turut menjadi mangsa banjir. Sedih apabila terpaksa buang semua buku tersebut malah tak sempat menyiapkan tugasan diberikan cikgu sebelum ini,” katanya.
Mengenai persiapan menghadiri persekolahan, Nur Marsya Farzana berkata, ibu bapanya sudah membeli pakaian baharu selain ada disumbangkan oleh pihak-pihak yang berkenaan.
Ibu pelajar tersebut, Rusnani Abdul Rahman, 47, berkata, dia dan suami Samtidar Abdullah, 47, melakukan persiapan seadanya untuk tiga daripada empat anak yang masih bersekolah.
“Baju-baju sekolah memang tak boleh diselamatkan, sudah banyak kali saya basuh dan hantar ke kedai dobi namun tetap berwarna selut. Jadi mana yang rosak, kami beli baharu dan ada juga pihak-pihak berkenaan beri bantuan baju sekolah,” katanya. – UTUSAN ONLINE










