PASIR GUDANG: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor menahan seorang pengurus dan pengarah sebuah kilang dipercayai melepaskan sisa buangan di Sungai Perembi, di sini kelmarin.
Pengarah JAS negeri, Dr. Famey Yusoff berkata, mereka yang ditahan merupakan lelaki warganegara tempatan dan berusia 50-an serta 40-an.
Katanya, kedua-dua mereka ditahan ketika serbuan dijalankan terhadap premis berkenaan pada pukul 4 petang dan mereka kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam kira-kira pukul 5 petang.
“Kedua-dua mereka ditahan bagi membantu siasatan kerana melepaskan air buangan efluen tidak terolah secara pintasan ke Sungai Perembi,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Kilang tersebut merupakan sebuah kilang yang memproses bahan berasaskan makanan.
Tambah Famey, pihaknya kemudian telah mengarahkan premis berkenaan untuk melakukan langkah penambahbaikan bagi menghentikan pembuangan sisa berkenaan.
“Siasatan di sungai mendapati tiada pencemaran berlaku akibat sisa buangan daripada premis tersebut,” ujarnya.
Famey berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 25(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – UTUSAN ONLINE










