
“Kami menghormati asal-usul, malah memuji keasliannya,” demikian slogan yang tertera pada laman sesawang Ole-Ole Bali.
Ternyata, ia bukan sekadar omong kosong. Pengalaman bersantap di restoran di cawangan IOI Mall, Putrajaya ini nescaya membawa pengunjung memasuki dimensi yang sarat dengan roh dan jiwa Bali Nusantara.
SANTAPAN MATA DAN TELINGA
Menarik di restoran yang beroperasi pada 2018 ini, ia menyediakan ruang gastronomi luar biasa yang membolehkan pengunjung bukan sahaja menikmati hidangan ala Bali, bahkan menyelam ke pesta visual dan deria rasa.
Ini kerana di samping menghidangkan makanan fusion yang kaya dengan kepelbagaian profil rasa, Ole-Ole Bali juga memiliki dekorasi dalaman yang sangat memukau pandangan.
Menurut Pengurus Bahagian Operasi, Norshazmira Abu Bakar, Ole-Ole Bali berpegang kepada lima elemen asas dalam mempengaruhi psikologi pelanggan.
“Lima elemen ini termasuklah bunyi, perasaan spiritualiti, bau, visual dan keenakan rasa.
“Dalam konteks makanan khususnya kami beri penekanan terhadap makanan autentik Bali, namun ada sentuhan fusion supaya rasa setiap hidangan memenuhi citra tempatan,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
KEENAKAN BERSANTAP
Membuatkan pengalaman menjamu selera di sini sangat luar biasa, selain menunya yang unik dan dinamik, pengunjung juga berpeluang “disajikan” dengan hiasan dalaman dan lagu-lagu bertemakan Bali.
“Hiasan dalaman hasil kreativiti pasukan kami sendiri dan tidak guna khidmat pakar luar. Kami juga import barang perhiasan dari Bali, Indonesia. Ini supaya kekalkan nilai estetika,” katanya.
Selain perhiasan dan panorama restoran memukau, Ole-Ole Bali juga mengetengahkan konsep open kitchen.
“Pelanggan boleh melihat cef kami memasak dan menghidang. Dari sini, kita akan lebih menghargai setiap makanan dihidang kerana menonton proses disediakan dari awal sampai siap,” jelasnya.
FUSION RAHSIA UTAMA
“Kekuatan restoran ini terletak pada variasi menu. Meskipun berpasak kepada budaya rumah makan Bali, namun kami beri sentuhan fusion.
“Misalnya masakan original Bali, kalau benda berprotein seperti ayam dan daging, biasanya terlalu kering. Namun kita beri sentuhan baru untuk menu tradisi Bali,” jelasnya.

MENU LUAR BIASA
Antara menu memukau adalah Tipat Cantuk.
“Ini adalah menu pembuka selera (starter) mirip gado-gado. Istimewanya ia didatangkan dengan sayuran hangat Bali bersama hirisan ayam bakar dan ramuan lain. Sosnya kita guna sos asam jawa dengan kacang,” katanya.
Menjamah menu utamanya juga, bisa membuat tekak seakan berdansa dan menari tango, dek kerana uniknya hidangan yang dijamu.
Mendahului carta sebagai ‘wira’ adalah set nasi siap mepanggang. Ia menu nasi yang dipadankan dengan ayam panggang berbumbu. Uniknya, nasi putih di sini ditanak bersama ramuan rahsia yang dicampur ubi keledek.
Hasilnya adalah nasi panas berasap yang lemak, wangi dan punyai haruman luar biasa.
Ia didatangkan pula dengan ayam yang digelar siap mepanggang. Itu dirujuk sebagai sejenis kaedah memasak yang kompleks, diinspirasikan dari Bali.
“Ayam dikukus dengan bumbu, kemudian diasingkan. Setelah sejuk, ia dilumur sekali lagi dengan bumbu rahsia, sebelum dipanggang. Hasilnya adalah ayam yang mempunyai rasa sangat luar biasa enaknya,” katanya.
ANEKA PEMANIS MULUT
Minuman di sini juga sangat kaya dengan kepelbagaian. Antara yang menarik perhatian dan menambat selera semestinya sejenis moktel halal iaitu Chili and Mango.
Air penyejuk badan itu gabungan mangga, lemon, limau kasturi, oren dan cili padi merah menyala! Bagaimana dengan kualiti rasanya?
“Dikhabarkan, ini antara air paling mendapat sambutan. Jadi dari situ kita boleh nilai kualiti rasanya,” katanya.
Turut memukau selera adalah pemanis mulut. Kami dihidangkan dengan semangkuk pisang bakar. Ia adalah gabungan pisang Embun yang dipanggang kemudian dilumur pelbagai manisan berkualiti termasuk aiskrim berjenama premium, gula kabung serta hirisan kelapa sangai. Hasilnya, ia satu menu pelengkap yang sangat harum. – MINGGUAN MALAYSIA













