PETALING JAYA: Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang mengesahkan beliau tidak menerima sebarang emel daripada Prof. Dr. Edmund Terence Gomez yang mendakwa salah laku Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Abu Zahar berkata, pihak pentadbiran LPPR juga masih tertunggu-tunggu emel yang didakwa telah dihantar oleh pensyarah ekonomi tersebut.
Menurut beliau, kenyataan Edmund kononnya beliau telah menerima surat tersebut secara langsung mencemar nama baik dan integritinya sebagai Pengerusi LPPR.
“Tiada satu emel surat diterima. Saya pun sudah periksa dengan pihak pentadbiran dan mereka cakap tiada surat diterima. Kenyataan Edmund ini telah mencemarkan integriti saya,” katanya.
Kelmarin, Edmund memaklumkan, Abu Zahar telah menerima suratnya berhubung dakwaan salah laku membabitkan Azam Baki sebelum beliau kemudian diminta merujuk perkara itu kepada Ahli LPPR, Datuk Seri Akhbar Satar.
Edmund kemudian dilaporkan meminta untuk menghubungi Akhbar yang didakwa memberitahunya, Abu Zahar telah menerima surat berkenaan.
Sebelum ini, Abu Zahar mengesahkan tidak menerima apa-apa surat daripada Edmund.
Dalam pada itu, Akhbar menjelaskan Edmund pernah menghubungi beliau untuk mendapatkan alamat emel Abu Zahar untuk tujuan menghantar surat ditulisnya itu.
Katanya, beliau sudah memberikan alamat emel sekretariat LPPR.
“Setelah Edmund emel surat, beliau mesej pada saya dan tanya saya sama ada saya terima emel pertama yang dia turut salinkan kepada saya dan sama ada Tan Sri ada menerima emel atau tidak.
“Saya jawab mesej dia begini yang pertama ‘Yes i received your email’ (Ya, saya terima emel kamu) dan kedua pula ‘I think he has received it’ (saya rasa beliau sudah terima),” jelasnya.
Terdahulu, sebuah media melaporkan, Edmund menyangkal dakwaan bahawa beliau tidak
membangkitkan dakwaan salah laku Ketua Pesuruhjaya SPRM dalam emelnya kepada Panel
Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) sebelum meletak jawatan sebagai ahli panel
berkenaan.
Lapor media berkenaan, Edmund telah menghantar sekurang-kurangnya lima lampiran berhubung dakwaan salah laku Azam dalam emelnya kepada pengerusi panel berkenaan, Tan Sri Borhan Dolah.
Lampiran itu juga didakwa dihantar kepada Abu Zahar selain turut diberikan salinan PDF dengan tarikh dan kandungan surat-menyurat emelnya kepada media.
Edmund meletak jawatan sebagai ahli panel perundingan SPRM Isnin lalu selepas mendakwa panel itu gagal membincangkan laporan-laporan yang membabitkan pegawai-pegawai tinggi di suruhanjaya berkenaan. – UTUSAN ONLINE










