Hubungan cuaca dalam kehidupan - Utusan Malaysia

Hubungan cuaca dalam kehidupan

RAMALAN disediakan MetMalaysia diketuai Ketua Pengarahnya, Muhammad Helmi Abdullah sangat membantu orang ramai mendapat gambaran lengkap keadaan cuaca. – UTUSAN/SYAWAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENERIMA Hadiah Nobel Fizik 2021 adalah seorang pakar meteorologi, Syukuro Manabe dari Universiti Princeton, Amerika Syarikat (AS). Ini merupakan kali pertama dalam sejarah, hadiah itu diberikan kepada seorang ahli meteorologi yang menghasilkan kajian mengenai perubahan iklim dan pemanasan global.

Beliau berkongsi menerima Hadiah Nobel Fizik itu dengan ahli meteorologi Klauss Hasselmann dari Max Institute of Meteorology, Hamburg, Jerman.

Ketika dunia berdepan krisis perubahan iklim dan pemanasan global, bidang kajian berkaitan cuaca sudah menjadi keutamaan. Nasib semua penghuni bumi ditentukan oleh tahap pelestarian iklim.

Perubahan iklim dan pemanasan global menjadi ancaman utama nyawa manusia di planet ini. Bagaimanapun, ratusan tahun lalu sebelum Hadiah Nobel memberikan pengiktirafan kepada ahli meteorologi, orang tua-tua kita sudah meletakkan cuaca sebagai faktor penting dalam kehidupan.

Walaupun tidak ada teknologi yang boleh meramal keadaan cuaca, mereka arif membaca isyarat daripada alam. Mereka membaca isyarat yang dihantar oleh unggas dan mergastua, melihat gigi air di tepi pantai untuk meramal ribut dan gelombang sebelum turun ke laut menangkap ikan atau aktiviti maritim lain.

Perubahan cuaca tidak berlaku tanpa sebarang isyarat, hanya terpulang kepada manusia untuk membaca isyarat itu. Buku Pantun dan Kebijaksanaan Akal Budi Melayu tulisan Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid yang memuatkan 78 daripada 16,000 pantun yang dikaji membuktikan perkara ini.

Dalam pantun bertemakan musim misalnya, Allahyarham melihat kebijaksanaan, cara berfikir dan sudut pandangan orang Melayu terhadap cuaca.

Cuaca penting kepada masyarakat silam sama ada dalam bidang pertanian, perikanan dan maritim. Membaca pantun dalam tema musim, dengan sendirinya memancarkan ilmu dan pengamatan orang Melayu terhadap alam yang memberikan petanda sebelum memulakan sesuatu kerja.

Kemajuan tidak pernah memutuskan hubungan manusia dengan alam dan cuaca. Maka cuaca terus menjadi perkara penting dalam kehidupan dahulu kini dan selamanya. Memencil atau mengabaikan cuaca boleh menjadikan kehidupan porak-peranda.

Minggu lalu, beberapa negeri terutama Selangor berdepan tragedi banjir teruk. Adakah semua ini berlaku tanpa sebarang isyarat dalam bidang meteorologi?

Tidak. Taburan hujan luar biasa dan angin kuat berlaku mengikut aturannya dan memberikan isyarat terlebih dulu. Pihak berkaitan seperti Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) misalnya memberikan isyarat awal dalam slot ramalan cuaca melalui radio dan televisyen setiap hari dan dua atau tiga kali sehari.

Ramalan yang diperoleh melalui teknologi canggih itu berketepatan 95 peratus dan membolehkan kita memahami keadaan cuaca dalam sehari atau seminggu akan datang. Pengalaman baharu daripada tragedi banjir besar itu adalah memantau keadaan cuaca secara kendiri.

Selain mengharapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) atau MetMalaysia, dengan teknologi telefon pintar menjadikan pemantauan kendiri bukan suatu yang sukar.

Malah, segmen ramalan cuaca di saluran televisyen disediakan MetMalaysia sangat membantu orang ramai mendapat gambaran lengkap keadaan cuaca sehari atau seminggu akan datang.

CANGGIH
Dalam kata lain, ramalan cuaca sekarang jauh lebih baik berbanding 1970-an dan 1980-an dulu. Kalau diteliti laporan yang disiarkan di saluran televisyen sudah memberikan gambaran lebih 95 peratus ketepatannya.

Taburan hujan, kelajuan angin dan ketinggian ombak boleh dijadikan rujukan untuk disesuaikan dengan kegiatan sosial dalam kehidupan. Boleh juga dimanfaatkan sebagai langkah berjaga-jaga.

Memang benar kita tidak berupaya mengalih atau mengurangkan taburan hujan serta memperlahankan kelajuan angin pada masa-masa tertentu.

Bagaimanapun, kita boleh menyesuaikan kehidupan dengan aturan alam itu. Misalnya nelayan atau kegiatan maritim tertentu boleh dielakkan apabila ketinggian ombak pada skala berbahaya.

Mengambl endah ramalan cuaca bukan sekadar untuk mengangkat kain dari jemuran. Mempedulikan cuaca menjadi satu disiplin penting dalam kehidupan.

Kalau zaman silam, orang tua-tua memilih musim untuk mengadakan kenduri atau majlis keraian. Mereka endah tentang cuaca dan menyesuaikannya.

Tinjauan rambang dalam kelompok kecil mendapati penggunaan aplikasi ramalan cuaca di telefon pintar meningkat dalam masa seminggu kebelakangan ini. Hendak keluar memenuhi undangan majlis perkahwinan pun sudah ada yang merujuk pada aplikasi ramalan cuaca.

Ini satu tabiat yang seharusnya dimulai sejak lama dulu, seperti generasi dahulu hendak memulakan sebarang pekerjaan sama ada bertani atau menangkap ikan di laut. Cuaca adalah perihal alam dan untuk lebih selamat kita kena memahami dan membaca bahasa alam.

Teknologi ramalan cuaca sekarang sudah sangat canggih. Maklumat pula mudah difahami oleh sesiapa sahaja. Tidak ada istilah yang terlalu teknikal yang menyekat maklumat sampai kepada sasaran. Malah, kalau dikenakan bayaran sekalipun, ia sangat minimum.

Di negara yang ada empat musim misalnya, hendak keluar dari rumah pun mesti melihat ramalan cuaca dulu. Mereka sentiasa berinteraksi dengan keadaan cuaca.

Maka, bukanlah suatu yang pelik sekiranya banyak bergantung pada teknologi untuk mendapat gambaran cuaca sejam, dua jam atau sehari akan datang. Tambahan pula dalam keadaan dunia berdepan perubahan iklim, ramalan cuaca sudah menjadi satu keperluan.

Di banyak negara, cuaca sudah tidak lagi mengikut aturan musim seperti kebiasaannya. Lihat sahaja di Mekah yang dulunya sangat jarang mendapat hujan kini sudah berlaku banjir. Banjir di Mekah bukan lagi perkara luar biasa.

Di negara kita juga banyak musim sudah berubah. Misalnya, ketika musim tengkujuh sekarang, taburan hujan biasanya lebih banyak di Pantai Timur.

Bagaimanapun, yang berlaku minggu lalu ialah hujan luar biasa di Lembah Klang mengakibatkan banjir besar di Selangor dan Kuala Lumpur.

Sedikit sebanyak perubahan iklim yang mengancam sebahagian dunia sudah mulai tempias ke negara ini. Maka, cuaca menjadi satu aspek yang rapat dengan kehidupan manusia.

Mendapat gambaran awal tentang keadaan cuaca adalah sebahagian daripada keperluan hidup. Semoga tahap kepekaan kita terhadap cuaca menjadi semakin tinggi.

Maka pemilihan Manabe sebagai penerima Hadiah Nobel Fizik ada signifikan dengan kita dan sekalian umat manusia di planet bumi.

PENULIS ialah Editor Kuseman.com.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×