PETALING JAYA: Mangsa banjir di tiga negeri kecewa kerana terpaksa berhadapan masalah gangguan telekomunikasi sekali gus menyukarkan mereka berhubung dengan pihak luar untuk meminta bantuan.
Sehubungan itu, mereka meminta penjelasan daripada kerajaan atau pihak berkuasa mengenai masalah tersebut kerana ia berlaku sejurus bencana banjir berlaku.
Ini kerana mereka kini bukan sahaja terpaksa berdepan dengan kemusnahan harta-benda dan terputus bekalan elektrik serta air sebaliknya terpaksa berdepan dengan masalah perhubungan.
Di Shah Alam, Selangor, kawasan terjejas teruk seperti di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam, gangguan bekalan elektrik sejak Sabtu lalu menyebabkan liputan telekomunikasi masih terganggu hingga ke hari ini.
Situasi itu dikongsikan Jackson Julian, 31 dari Sabah yang menetap di Taman Sri Muda dan bekerja sebagai pembantu kedai hardware yang memberitahu hanya dapat menghubungi keluarganya semalam bagi memaklumkan khabarnya di sini.
“Sejak blackout pada hari Sabtu ketika banjir langsung tak dapat call orang, liputan terlalu kurang tetapi sebelum itu sempat maklum kepada keluarga mengenai situasi banjir sebelum terputus hubungan. Liputan kejap ada kejap tak ada, mundar mandir saya redah air banjir yang sudah mulai surut untuk dapatkan liputan, bagi menghubungi keluarga,” ujarnya.
Bagi Irwansyah Putra Yahya, 32, pula, dia terpaksa berjalan kaki sejauh hampir dua kilometer (km) dari rumahnya di Jalan Watan berhampiran pasar raya Mydin bagi mendapatkan liputan dan mengecas bateri telefon bimbit.
“Jauh jalan, sejak semalam saya ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Emerald untuk cas telefon dan hubungi keluarga kerana hanya di sini sahaja ada liputan dan bekalan elektrik,” katanya.
Di Jelebu, Negeri Sembilan, selepas dilanda bencana banjir pada 18 Disember lalu, daerah ini mula mengalami gangguan perkhidmatan telekomunikasi sehingga menyukarkan aktiviti penduduk termasuk urusan selepas banjir.
Sehingga ke hari ini, gangguan talian telefon dan internet masih lagi berlaku melibatkan perkhidmatan tiga buah syarikat telekomunikasi utama.
Seorang peniaga, Ah Kui Foo, 63, dia mengalami kesukaran untuk menghubungi pembekal barangan untuk kedai kopi yang diusahakannya yang terletak di pekan Kuala Klawang di sini.
“Susah hendak mendapatkan talian telefon sejak kejadian banjir berlaku. Sukar untuk saya menghubungi pembekal kerana saya membuka kedai makan dan minuman di pekan ini. Diharapkan pihak bertanggungjawab dapat segera membaiki gangguan talian telekomunikasi kerana kami sukar untuk menghubungi sesiapa,” katanya ketika ditemui
hari ini.
Seorang lagi penduduk, Nornela Buyong, 50, berkata, dia terpaksa membeli kad sim baharu daripada syarikat telekomunikasi yang lain selepas talian yang digunakannya ketika ini mengalami gangguan sejak 18 Disember lalu.
“Penduduk yang menggunakan talian seperti saya juga sudah beralih kepada pengendali talian telekomunikasi yang lain tetapi kadang kala ia juga mengalami gangguan. Saya sebagai pengguna berharap pihak berwajib dapat menyelesaikan isu ini dengan segera kerana ia benar-benar memberi kesukaran kepada kami,” katanya lagi.
Sementara itu di Pekan, Pahang, sebanyak 340 pemancar telekomunikasi di seluruh negeri terjejas akibat banjir yang melanda sejak Ahad lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, ia melibatkan perkhidmatan talian dari syarikat perkhidmatan Telco seperti Celcom, Digi, Maxis, U Mobile, Webe dan YTL.
“Punca utama yang menyebabkan banyak rangkaian telekomunikasi terjejas adalah kerana lokasi-lokasi menara, pemancar dan sekitarnya telah dinaiki air banjir dan menyebabkan bekalan elektrik terpaksa diputuskan sementara oleh pihak TNB,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, sehingga hari ini, daripada sejumlah 340 pemancar itu, sebanyak 114 pemancar telah berjaya diaktifkan semula. – UTUSAN ONLINE










