NAMA Grace Kelly sememangnya amat popular dalam industri perfileman Amerika Syarikat (AS) pada era 1950-an.
Bagaimanapun, beliau terpaksa melupakan dunia glamor selepas berkahwin dengan lelaki dari golongan kerabat diraja.
Daripada aktres sehingga menjadi isteri kepada Putera Monaco, Rainier III, kisah kehidupan Grace tidak seindah seperti disangka.
Grace dilahirkan pada 1929 di Philadelphia adalah anak ketiga daripada empat beradik kepada pasangan ibu bapa dari latar belakang bidang sukan.
Ayahnya, John B. Kelly adalah pemenang pingat emas Olimpik 1920 bagi acara sukan mendayung manakala ibunya, Margaret Katherine Majer, seorang model yang kemudian menjadi jurulatih olahraga.
Meskipun bapa saudara Grace adalah pelakon, ibu bapanya tidak begitu berminat melihat anak mereka menceburi kerjaya dalam bidang lakonan.
Grace mula membintangi filem seawal usia 20 tahun selepas menjadi model dan terlibat dalam banyak pementasan, drama dan siri televisyen.

Beliau pernah dicalonkan anugerah Oscar bagi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dalam filem Mogambo. Namun, lakonan cemerlang dalam filem The Country Girl membolehkannya merangkul anugerah berprestij itu.
Bukan itu sahaja, Institut Perfileman AS menghargai bakat lakonan Grace dengan menyenaraikan aktres itu antara bintang filem terhebat sepanjang zaman, yang turut merangkumi 50 legenda Hollywood dalam senarai tersebut.
Grace dan Rainier bertemu di Festival Filem Cannes pada 1955 dan setelah itu, mereka mula mengutus surat kepada satu sama lain. Selepas berkenalan selama enam bulan, Rainier dan Grace akhirnya berkahwin pada 1956.
Kerjaya lakonan Grace sangat singkat dan hanya bertahan selama empat tahun. Oleh kerana statusnya sebagai Permaisuri Monaco, Grace tidak dibenarkan meneruskan bidang kerjayanya sebagai pelakon.
Namun begitu, beliau banyak terlibat dalam kerja-kerja badan kebajikan amal antaranya menubuhkan Princess Grace Foundation bagi membantu menyokong seni tempatan Monaco.
Rainier dan Grace dikurniakan tiga orang anak iaitu Puteri Caroline, Putera Albert dan Puteri Stephanie.
Kehidupan berumah tangga Grace bersama suaminya juga dikatakan tidak terlalu sempurna seperti kisah cinta dongeng. Lama-kelamaan amat jelas mereka berbeza.
Pada 13 September 1982, Grace mengalami beberapa kecederaan akibat kemalangan kereta dan meninggal dunia di hospital pada keesokan harinya. Puteri Stephanie juga terlibat dalam nahas tersebut.
Pemergian Grace pada usia 52 tahun mengejutkan seluruh dunia khususnya para peminatnya di AS dan Monaca. Walaupun insiden itu sudah berlaku beberapa dekad lalu, kematian Grace masih mencetuskan tanda tanya sehingga kini.
Berita kematian Grace menjadi salah satu misteri terbesar dalam industri Hollywood dan monarki Eropah. Berikut beberapa isu dibangkitkan yang disiarkan dalam portal Biography.com:-
Mengapa Grace memandu pada hari kejadian?
Grace tidak suka memandu, jadi isu beliau memandu pulang dari rumah agam di Roc Agel, Perancis ke istana di Monaco agak pelik.
Walaupun jarak kedua-dua lokasi itu hanyalah kira-kira 19 kilometer (km), perjalanan tersebut mengambil masa hampir 40 minit kerana jalan-jalan berliku.
Puteri Stephanie pada ketika itu berusia 17 tahun dan bakal memulakan sesi persekolahan di Paris dalam masa dua tiga hari lagi.
Sebagai persiapan bagi sesi persekolahan anaknya, Grace mengemas pakaian dan barangan kelengkapan untuk dibawa bersama.
Beg pakaian dan barangan dimuatkan penuh dalam bonet serta tempat duduk belakang kenderaan Rover 3500 menyebabkan tiada ruang untuk sesiapa menaiki kereta tersebut.
Atas sebab itu, Grace memberitahu akan memandu sendiri untuk ke tempat berkenaan.
Berdasarkan buku Rainier and Grace: An Intimate Portrait, pemandu keluarga diraja itu berulang kali memberitahu sanggup menghantar Grace dan Puteri Stephanie dan kembali semula untuk membawa barangan tersebut.
Namun, Grace bertegas mahu memandu sendiri bersama Puteri Stephanie untuk pulang ke istana.

Kereta jatuh dari tebing
Grace bersama Puteri Stephanie dalam perjalanan pulang menuju ke istana.
Dilaporkan, sepanjang jalan tersebut terdapat selekoh tajam yang memerlukan pemandu membuat pusingan 150 darjah, tetapi dalam isu Grace di situlah berlakunya kesilapan.
Kereta itu melanggar tembok penahan dan terhumban ke bawah cerun.
Pada mulanya, beberapa laporan mendakwa Puteri Stephanie mungkin memandu kereta itu walaupun bawah umur dan tidak mempunyai lesen memandu.
Saksi dikenali sebagai Sesto Lipio mendakwa melihat seorang gadis sedang memandu dan seorang wanita berada di tempat duduk belakang kenderaan tersebut.
Dua saksi lain pula mendakwa melihat Grace memandu kereta tersebut. Pada tahun 2002, Puteri Stephanie akhirnya memberi penjelasan mengenai dakwaan tersebut.
“Saya tidak memandu pada ketika itu, ibu pula terpelanting ke kerusi belakang.
“Pintu bahagian penumpang sudah remuk sepenuhnya dan satu-satunya pintu boleh dibuka adalah pada bahagian pemandu dan saya keluar dari situ,” katanya.
Grace dan Puteri Stephanie bertengkar sebelum kemalangan?
Satu lagi khabar angin tersebar kononnya Grace terganggu ketika memandu kereta kerana beliau dan anaknya bertengkar.
Puteri Stephanie dikatakan mahu berkahwin dengan teman lelakinya, Paul.
Paul merupakan seorang pemandu kereta lumba dan anak kepada pelakon filem Perancis, Jean-Paul Belmondo.
Brek kereta tak berfungsi?
Memandangkan tiada kesan tergelincir, kereta itu mungkin memecut laju sepanjang masa sebelum terjatuh dari tebing.
Menurut seorang saksi yang memandu di belakang kenderaan mangsa, dia tidak perasaan melihat lampu brek menyala sepanjang perjalanannya.
Apabila kereta mangsa ditemui, dilaporkan gear berada pada posisi parkir.
“Saya tahu gear harus diletakkan pada posisi P untuk menghentikan kereta.
“Saya sudah cuba segala-galanya termasuk menarik brek tangan. Adakah ibu saya keliru dengan pedal minyak dan brek. Itu saya tidak tahu,” kata Puteri Stephanie.
Beberapa laporan lain menyalahkan syarikat pengeluar kereta dengan mendakwa brek kenderaan Rover itu mungkin tidak berfungsi.
Malah, pakar jurutera dihantar untuk memeriksa kereta berusia 11 tahun itu namun tiada masalah dikesan. Bagaimanapun, satu perkara sudah pasti adalah kedua-dua individu itu tidak memakai tali pinggang keledar.
Grace tidak sihat ketika memandu?
Ada laporan mendakwa Grace mempunyai tekanan darah tinggi dan sedang mengalami menopaus, bagaimanapun dakwaan tersebut dinafikan.
“Ibu saya terlalu letih. Apa yang saya tahu ibu sangat sibuk dengan tugasannya sepanjang musim panas.
“Banyak perkara dilakukannya tetapi ibu tidak pernah mengadu mengenainya. Namun, beliau tidak berasa sihat,” kata anak perempuannya, Puteri Caroline dalam petikan buku Chicago Tribute.
Menurut Puteri Stephanie, ibunya pernah memaklumkannya mengalami sakit kepala ketika memandu pada hari kejadian.
Ia kelihatan seolah-olah pemandu mengalami sakit secara tiba-tiba dan pengsan sebelum hilang kawalan kenderaan lalu terjatuh dari tebing.
Keadaan asal Grace tidak dilaporkan?
Memetik laporan Washington Post, seorang doktor dari Hospital Monaco, Dr. Louis Chatelaine berkata, Grace diserang strok sebanyak dua kali iaitu sebelum nahas dan kemudian disebabkan kemalangan itu.
Katanya, peluang Permaisuri Monaco itu untuk terus hidup amat tipis kerana Grace secara teknikal mengalami kematian otak akibat dua serangan strok itu.
Pada asalnya, pengumuman rasmi hanya memaklumkan Grace mengalami keretakan dan kecederaan di beberapa anggota badan.
Beberapa kakitangan istana mendakwa mendapat tahu berita Grace diserang strok selepas kematiannya.
Setakat ini, tidak dapat dipastikan sama ada berita itu sengaja diperkecilkan atau tahap intensiti situasi tersebut tidak begitu jelas kepada pihak yang membuat pengumuman tersebut.
Lapor New York Times, seorang pakar bedah saraf di Nice, Dr. Jean Duplay berkata, bahagian communiques berperanan sebagai pentadbiran dan bukannya buletin perubatan.

Hospital patuhi prosedur?
Menurut Duplay, ketika dia dipanggil ke hospital kira-kira pukul 12.30 tengah hari (waktu tempatan) susulan kemalangan itu, Grace sudah diberi ubat bius, jadi beliau tidak boleh dipindahkan ke unit lain.
Grace kemudian dibawa ke pusat perubatan lain untuk melakukan imbasan dan hasilnya menunjukkan pendarahan serebrum yang dialaminya.
Namun, pada sebelah petang itu, keadaan kesihatan Grace bertambah teruk.
Pada 14 September 1982, doktor menghentikan mesin bantuan pernafasan Grace dan beliau disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 6 petang.
Keputusan itu dibuat oleh Putera Rainier dan dipersetujui oleh anak-anaknya, Puteri Caroline dan Putera Albert.
Grace disahkan mati otak dan ahli keluarganya tidak mahu memasang mesin bantuan pernafasan untuk memburukkan lagi keadaan badannya.
Selepas hampir empat jam berunding, mereka akhirnya membuat keputusan sukar itu.
Puteri Stephanie hanya dimaklumkan mengenai berita kematian ibunya dua hari selepas kemalangan itu ketika sedang pulih daripada kecederaan dialami.









