Baru dalam lakonan, saya sedia terima teguran - Malek Maccrone - Utusan Malaysia

Baru dalam lakonan, saya sedia terima teguran – Malek Maccrone

MALEK Maccrone mahu fokus pada kerjaya lakonan terlebih dahulu sebelum memikirkan soal cinta.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Industri filem dan drama tempatan semakin meriah. Pelakon baharu silih berganti, merebut tempat dalam lapangan yang semakin berkembang ini.

Antara berpuluh, hadir seorang Malek Mccrone.

Pendatang baru kacukan Melayu Kanada ini, namanya semakin dikenali.

Memuatkan artikel berkaitan…

Wajah tampan dengan fizikal seorang atlet menjadi kelebihan yang membawa Malek ke dunia lakonan.

Hakikatnya, rupa paras masih perlu bergandingan dengan bakat. Pakej lengkap itu tetap dipandang dan diutamakan.

Itu diakui sendiri jejaka berusia 27 tahun ini yang ligat mengintai peluang berlakon drama dan filem.

“Penglibatan saya tidaklah mudah. Bakat juga dipandang meskipun seseorang pelakon itu cantik dan tampan.

“Pada saya, nak jadi pelakon kena belajar. Itu yang saya buat, belajar daripada orang lama.

“Saya hormat pelakon senior. Ambil peluang juga untuk bertanya. alhamdulillah mereka banyak menolong. Kalau di set, saya minta mereka tegur kalau saya silap,” katanya.

Malek bermula sebagai seorang model, sekitar tahun 2015. Dia juga pernah tinggal seketika di Kanada. Sempat juga bekerja di sana dalam bidang pembinaan.

Lepasan bidang Penyelenggaraan Pesawat, Universiti Kuala Lumpur ini tidak pernah terfikir untuk menjadi pelakon. Minat ada. Cuma nak diteroka sahaja.

Kata Malek, banyak kelemahan perlu diperbaiki walaupun sudah berlakon dalam beberapa drama.

Penguasaan bahasa Melayunya pula ditahap baik, cuma adakala perlu penambahbaikan dari semasa ke semasa.

“Masalah saya ialah bila nak sampaikan dialog dalam Bahasa Melayu. Lebih-lebih lagi yang panjang. Masih belum lancar.

“Saya perlukan masa. Kadangkala bunyi Inggeris itu masih melekat. Pengarah juga ada menegur. Saya ambil nasihat mereka dan jadikan panduan,” katanya lagi.

Apabila ditanya, adakah dia bersedia berdepan liku dunia hiburan. Jawapannya samar.

Mungkin masih terlalu baharu. Tapi yang pasti, Malek bukan sahaja kacak berbakat, malah mentalnya juga kuat.

“Mungkin bersedia. Tapi sekarang belum lagi terasa. Saya pun baru bermula.

“Tunggu dan lihat sahaja. Yang saya tahu, mental saya kuat. Jadi harapnya, bila berdepan kontroversi, saya bersedia,” jelasnya.

Mahu tumpu kerjaya terlebih dahulu
Saya bertanya, adakah dia berteman istimewa? Jawabnya tidak. Masih solo dan fokus kerjaya.

Selalunya, lelaki tampan ini jadi rebutan. Ada sahaja yang ingin mendekati. Tapi bagi Malek, tidak. Buat masa ini, dia lebih senang hidup sendiri.

“Saya single. Senang begini buat masa ini. Kalau boleh nak fokus kerja sahaja. Saya seronok, bekerja dalam waktu yang panjang,” ujarnya.

Katanya, kahwin bukan sekarang. Tunggu dahulu, umur masuk 30-an.

“Nanti baru saya akan fikirkan. Tengoklah keadaannya bagaimana. Terlalu awal untuk saya perkatakan.

“Tapi saya tidak menolak jodoh. Kalau ada, saya terima. Buat masa ini, biarlah saya berteman dengan kerjaya,” katanya lagi.

Disoal tentang kerjaya, pelakon berketinggian 183 sentimeter ini berkata dia terlebih dahulu ingin stabil di Malaysia.

Katanya, belum ada perancangan mencuba nasib di luar negara. Banyak yang perlu diperbaiki.

“Kalau ada peluang saya akan cuba. Tapi rasanya perlu stabil di Malaysia dahulu.

“Kemahiran (lakonan) pun kena asah lagi. Bila sudah mampu, saya akan cuba ambil peluang berlakon di kuar negara,” katanya.

SOMBONG? TAK ADALAH
Malek mengakui dia seorang pendiam. Tak banyak bercakap sebaliknya lebih suka buat kerja sendiri.

Katanya setakat ini belum ada yang mengatakan dia sombong. Semula jadi sifatnya begitu. Tak banyak mulut.

“Saya orangnya bersederhana. Lebih relaks dan tenang. Tetapi dalam bekerja saya serius. Saya berikan seratus peratus. Seorang introvert yang bertukar extrovert bila bekerja.

“Saya lebih banyak berdiam. Kadangkala risau juga kalau ada yang fikir saya ini sombong. Tetapi setakat ini tiada. Apa yang awak tengok, itulah saya,” katanya.

AMBIL SEMANGAT IBU
Anak sulung ini seorang yang menyayangi ibunya yang disahkan bebas kanser payu dara, dua tahun yang lalu.

Cerita Malek, dugaan yang dijalani ibunya amat dirasakan seluruh ahli keluarga. Orang kata, cubit paha kiri paha kanan terasa.

“Ujian itu kami lalui bersama, sebagai satu keluarga. Saya gembira, dapat luangkan masa menjaganya selepas dia selesai menjalani pembedahan dahulu. Kini kesihatannya memuaskan.

“Apa yang berlaku kepada ibu memberi tamparan buat kami semua. Saya belajar banyak perkara dari apa yang dialami ibu.

“Kanser yang menyerang ibu saya mengubah kehidupannya. Mengingatkan kami semua betapa penting menjaga diri dan kesihatan,” cerita Malek.

Saya bertanya, bagaimana dia menjaga kesihatannya. Sebagai pelakon itu satu tuntutan kerja.

Jawab Malek, dia seorang yang gemar aktiviti lasak. Tambahan pula dia sebelum ini pernah menyertai barisan atlet berbasikal negara. Jadi, kecergasan itu memang diutamakan sejak dahulu lagi.

“Setiap pagi, saya bersenam. Berlari enam kali seminggu. Saya suka aktiviti lasak dan mencabar. Itu menguatkan badan dan menyihatkan.

“Pemakanan perlu dijaga. Saya amalkan puasa. Makanan juga tidak berlebihan. Banyakkan sayuran.

“Badan kita perlu dijaga. Kita tak tahu apa berlaku apabila usia meningkat nanti. Sebab itu saya sangat menjaga,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN