Biskut cip coklat bebas gula, diet sihat - Utusan Malaysia

Biskut cip coklat bebas gula, diet sihat

Biskut cip coklat ini boleh didapati dalam tiga kategori iaitu bebas gula, rendah gula dan dikurangkan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ada banyak biskut dalam pasaran. Namun kebanyakannya dibuat daripada bahan-bahan yang kurang sihat seperti gula berlebihan serta tidak mengandungi serat dan bebas daripada gluten.

Oleh itu, ia boleh menjadi salah satu faktor menyumbang kepada peningkatan berat badan secara tidak sihat. Ini kerana biskut bukanlah makanan yang mengenyangkan jika diambil dalam kuantiti sedikit.

Justeru, bagi penggemar biskut dan ingin mengamalkan diet secara sihat, Pensyarah Program Dietetik, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Nur Hana Hamzaid mencipta biskut cip coklat. Ia bagi membantu rakyat tempatan tidak kira kanak-kanak atau dewasa untuk diet secara sihat.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Dr. Hana berkata, idea terhasil daripada pengendalian klinik kanak-kanak berkeperluan khas yang menemui ramai kanak-kanak yang datang ke klinik beliau mengambil diet tinggi gula, antaranya adalah biskut cip coklat.

DR. Nur Hana Hamzaid menunjukkan cip coklat yang dihasilkannya.

“Selain itu, diet rendah fiber atau serat juga antara punca kepada kerapnya berlaku sembelit. Dengan itu, terhasillah idea penghasilan biskut cip coklat yang tinggi serat dan bebas gula.

“Pada awalnya ia hanya dicipta untuk kanak-kanak. Walau bagaimanapun, pasaran adalah lebih besar untuk golongan dewasa terutama yang ingin mengamalkan diet sihat.

“Daripada tinjauan pasaran didapati tiada lagi biskut yang memenuhi ketiga-tiga kriteria iaitu tinggi serat, bebas gluten dan bebas gula. Maka dengan itu, saya sahut cabaran ini,” katanya.

BISKUT CIP COKLAT

Dr. Nur Hana berkata, Chippie Choc Cookie adalah biskut pertama di Malaysia yang memenuhi standard pelabelan bagi tinggi serat, bebas gluten dan bebas gula tetapi lazat serta sesuai dijadikan kudap-kudapan bagi golongan dewasa dan kanak-kanak.

“Pada peringkat permulaan Covid-19, kita mendapati golongan mengalami diabetes mellitus adalah antara golongan ramai dilaporkan memerlukan bantuan intensif dalam pengurusan Covid-19 apabila dimasukkan ke hospital.

“Dengan itu, penghasilan biskut ini adalah selaras dengan amalan gaya hidup sihat yang diuar-uarkan untuk diamalkan oleh rakyat tempatan khususnya,” katanya.

Beliau berkata, statistik diabetes, obesiti dan berat badan berlebihan dalam kalangan dewasa kian meningkat dan amat membimbangkan.

Kajian juga mendapati pengambilan serat dalam kalangan populasi Malaysia juga adalah rendah dan tidak memenuhi saranan digariskan dalam dokumen Recommended Nutrien Intake for Malaysia (2017)

Bagi mengkomersilkan Chippie Choc Cookies™, UKM melalui UKM Technology Sdn. Bhd. menandatangani Perjanjian Pelesenan Teknologi dengan MFaez Food Industries Industries Sdn. Bhd.

Menerusi perjanjian itu, MFaez Food Industries diberi hak pelesenan untuk menghasilkan biskut Chippie Choc Cookies seterusnya memasarkan produk tersebut di dalam dan luar negara

“Salah seorang pengasas MFaez Food Industries adalah bekas pesakit kanser tahap dua. Setakat ini, beliau berjaya mengekalkan tahap kesihatan setelah menjalani pembedahan dan mengamalkan produk bebas gula.

“Dengan itu, pihak industri memulakan langkah dalam penghasilan produk dalam kategori health and wellness,” kongsinya.

KELEBIHAN

Mengenai kelebihan produk pula, Dr. Hana berkata, ia dapat membantu memenuhi keperluan diet harian dalam mengekalkan tubuh badan yang sihat.

Beliau berkata, keperluan pengambilan serat antara 25 hingga 38 gram setiap hari sukar dicapai oleh majoriti rakyat tempatan.

Katanya, dengan pengambilan Chippie Choc Cookies, ia sedikit sebanyak dapat membantu dalam meningkatkan pengambilan serat dalam diet harian yang dapat memberi pelbagai faedah kesihatan kepada seseorang individu.

“Pilihan bebas gluten pada produk kami memberi peluang kepada pengamal diet bebas gluten untuk mendapatkan produk pada harga lebih murah.

“Kandungan bebas gula selaras dengan saranan diet sihat iaitu perlunya mengurangkan pengambilan gula dalam diet harian,” jelasnya.

Dr. Hana menambah, dengan mengambil produk tersebut, individu dapat menikmati snek mereka tanpa perlu risau akan pengambilan gula yang tinggi.

“Di samping itu, individu dengan masalah diabetes juga dapat menikmati biskut cip coklat dengan lebih selesa.

“Rasa manis pada biskut ini juga adalah pada tahap sederhana. Ia turut melatih sensori seseorang kepada makanan kurang manis,” kongsinya.

Kata Dr. Hana, produk ini juga telah memperoleh pensijilan Healthier Choice Logo (HCL) dari Kementerian Kesihatan (KKM) dan memenuhi kriteria nutrisi ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Malah, ia merupakan satu-satunya biskut cip coklat yang berjaya memperoleh sijil HCL buat masa ini. Selain itu, biskut ini juga telah memperoleh pensijilan halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Menurut beliau, penghasilan Chippie Choc Cookies telah melalui proses teliti dalam memenuhi hasrat industri di samping mengambil kira kepatuhan kepada standard bagi ketiga-tiga kriteria yang telah ditetapkan.

“Bagi mempelbagaikan pilihan rasa segenap lapisan masyarakat, biskut ini juga dikeluarkan dalam tiga pilihan iaitu bebas gula, rendah gula dan kurang gula (25 peratus gula daripada resepi asal).

“Keistimewaan produk ini juga adalah diperbuat daripada tepung bebas gluten dan tinggi serat hasil formulasi Dr. Hana’s FiberBlend™,” katanya.

Ahli kumpulan yang terlibat dalam penghasilan biskut cip coklat bersama Dr. Nur Hana Hamzaid.

MASUK PASARAN

Produk ini telah pun memasuki pasaran baru-baru ini. Ia boleh didapati di platform dalam talian iaitu Shopee atau secara runcit di Farmasi UKM, cawangan Kuala Lumpur.

“Sasaran utama pengguna adalah golongan dewasa terutamanya kepada individu mengamalkan pemakanan sihat, selain penghidap diabetes, kanser dan alahan kepada produk mengandungi gluten,” katanya.

PENGAMBILAN

Harga ditawarkan kepada pengguna dalam negara adalah berpatutan. Produk Chippie Choc Cookies dengan berat 60 gram ini mula memasuki pasaran runcit di farmasi pada harga RM7.40.

“Produk ini sesuai dijadikan makanan snek dalam diet harian sebagai alternatif kepada biskut cip coklat lain yang kandungan gulanya adalah lebih tinggi dan seratnya lebih rendah.

“Tiada umur spesifik ditetapkan untuk pengambilan produk. Malah kanak-kanak berumur dua tahun ke atas dan golongan warga emas turut boleh menikmati Chippie Choc ini.

“Inovasi ini mengambil masa selama setahun setengah secara keseluruhannya. Penyelidikan untuk menghasilkan Dr Hana’s Fiberblend juga dalam tempoh sama, manakala usaha pembangunan produk mengambil masa selama setahun termasuk analisis produk, ujian sensori dan persijilan,” ujarnya mengakhiri bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×