PETALING JAYA: UMNO dan Pas perlu memuktamadkan keputusan sama ada untuk bergerak solo atau memberi autonomi kepada mana-mana jawatankuasa pimpinan negeri kedua-dua parti itu untuk meneruskan kerjasama Muafakat Nasional (MN) atau sebaliknya.
Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang Pengajian Kerajaan dan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, berdasarkan kenyataan pemimpin Pas dan UMNO, sepertinya sudah tiada jalan ke hadapan bagi gagasan MN untuk bekerjasama menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di peringkat nasional.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, menurut beliau, ini kerana Pas berkeras mahukan parti-parti lain termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diterima sebagai komponen MN sedangkan pelbagai peringkat UMNO sudah sepakat untuk menolak kerjasama dengan Bersatu.
“Oleh itu, adalah lebih bagus untuk kedua-dua pihak tidak membicarakannya lagi serta fokus bergerak solo khususnya bagi menghadapi PRU-15 dan terus bekerjasama dalam isu-isu yang memerlukan mereka berbuat demikian.
“Satu pilihan lain yang mungkin ada dalam konteks kerjasama politik antara Pas dan UMNO bagi menghadapi PRU-15 adalah untuk memberikan autonomi kepada Pas dan UMNO di peringkat negeri-negeri memutuskan keperluan kerjasama tersebut,” katanya ketika dihubungi semalam.
Kelmarin, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Pas menolak gagasan MN kerana UMNO tidak mengikut piagam dipersetujui ketika kerjasama dua parti itu dibentuk.
Menurut beliau, berdasarkan piagam MN, dua parti itu sedia menerima parti-parti lain termasuk Bersatu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ke dalam gabungan tersebut.
Kamarul Zaman berkata, pihaknya melihat keperluan kerjasama MN berbeza antara satu negeri dengan negeri yang lain, ini kerana segala yang mungkin boleh difikirkan adalah untuk UMNO dan Pas bekerjasama di negeri-negeri tertentu, tetapi bersaing secara sihat di negeri-negeri lain.
“Contohnya di Selangor yang Pengerusi UMNO Negeri secara terbuka menyatakan UMNO sukar menang dalam PRU-15 jika mereka (UMNO Selangor) tidak bekerjasama dengan Pas manakala di Terengganu pula Pengerusi UMNO Negeri itu menolak kerjasama ini,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menambah, alternatif lain yang boleh menjadi pilihan terakhir adalah untuk kedua-dua parti itu kembali bekerjasama membentuk kerajaan meskipun bergerak solo pada PRU-15.
Jelasnya, ketidaksefahaman antara pemimpin Pas, UMNO dan Bersatu mengenai kerjasama politik antara mereka bagi menghadapi PRU-15 tidak sepatutnya menjadi satu halangan yang boleh merencatkan pentadbiran kerajaan masa kini.
“Ini kerana ketidaksefahaman tersebut adalah melibatkan perkara yang belum berlaku, malah amat jauh lagi untuk berlaku, sedangkan pentadbiran kerajaan sekarang dibina untuk menyelesaikan pelbagai permasalahan mendesak yang sedang melanda.
“Jika pentadbiran kerajaan sekarang boleh bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) melalui memorandum persefahaman untuk memastikan kestabilan politik tercapai sebelum PRU-15 berlangsung, tidak ada sebab untuk parti-parti dalam kerajaan tidak dapat berbuat demikian,” jelasnya.
Sementara itu, geostrategis, Dr. Azmi Hassan berkata, MN boleh terus dihidupkan, namun perlu ada strategi yang betul untuk mengumpulkan parti-parti berteraskan Melayu Islam terbesar di negara ini berada dalam satu gabungan.
Dalam hal ini, Pas perlu memainkan peranan untuk meninggalkan Bersatu terlebih dahulu jika masih mahu mengekalkan kerjasama MN sekali gus menunjukkan kekuatan sebenar solidariti UMNO dan Pas.
Beliau berkata, jika tindakan Pas dan UMNO terus membuat kenyataan sindir-menyindir tanpa merangka strategi demi kepentingan Melayu Islam, hasrat MN itu tidak akan tercapai selama-lamanya.
“Apakah strategi Pas untuk memujuk UMNO dalam hal ini, saya melihat jika Pas bersetuju MN ini, tinggalkan Bersatu dahulu, maka kekuatan MN itu mesti dirasai Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) kerana PN tanpa Pas adalah sukar untuk Bersatu menjadi kuat.
“Jika Pas bersetuju bersama UMNO, ini akan memaksa Bersatu masuk ke dalam MN. Cuma bezanya adalah UMNO dan Pas dianggap parti tunjang utama kerana mereka mengasaskan MN dan Bersatu masuk sebagai ahli bersekutu,” katanya di sini semalam.
Penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Kartini Aboo Talib pula berpendapat, hubungan Pas-UMNO ibarat perkahwinan atas dasar kepentingan dan hanya menunggu masa bercerai untuk masing-masing memilih haluan sendiri.
Ini kerana, penubuhan MN yang melibatkan perjanjian bersama antara kedua-dua parti itu setelah berseteru sekian lama hanya berlaku selepas kejatuhan Barisan Nasional (BN) dan kerjasama itu dibuat semata-mata mendapatkan sokongan dan keyakinan semula orang Melayu atau bangsa lain yang beragama Islam.
Beliau berkata, keretakan hubungan itu sudah lama dihidu apabila Pas mengamalkan perkahwinan bigami antara UMNO dan Bersatu.
Kartini berkata, melihat kepada situasi hubungan antara tiga parti Melayu itu, BN boleh bergerak solo menuju PRU-15 kerana BN sudah ada gabungan bersama MCA, MIC dan parti-parti dari Sabah Sarawak.
Menyokong pendapat sama, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. P. Sivamurugan berkata, hubungan Pas dan UMNO di bawah MN sudah retak menunggu belah.
Katanya, hubungan ini sukar jika titik pertemuan masih tiada, namun jika kedua-dua parti itu masih mahu menyelamatkan kerjasama itu, masing-masing perlu mencari keseimbangan.- UTUSAN










