“LUKISAN di sini bagaikan diari yang menterjemahkan perjalanan hidup saya dari seorang buruh hingga kini berjaya menjadi seorang seniman. Penuh warna dan ranjau,”
Bait kata itu, dilontarkan pelukis, Mohamad Isa Mohammad Ishak, 26 ketika bertemunya di Galeri Zhan Art Space, di sini baru-baru ini.
Di galeri yang menempatkan pameran solonya Kisah Isa Ishak itu, ada 26 catan yang menceritakan perihal kehidupan empunya diri dan peranan dimainkan selaku ayah, suami dan pekerja.
Menerusi nama pena Isa Ishak, seniman muda ini menyifatkan pameran berkenaan sebagai mendokumentasikan perjalanan hidupnya sebagai seorang lelaki bergelar seniman, ayah dan juga suami.
“Seni lukisan adalah laluan tunggal untuk saya mengekspresikan apa yang terdapat dalam fikiran saya. Bagi saya lukisan itu tidak kaku. Sebaliknya ia medium untuk berkomunikasi kepada penggiat dan penggemar seni,” katanya.

Sejak 2016, Isa telah menyertai lebih dari 30 pameran berkumpulan dalam negara antaranya Klimax, miniprint di Balai Seni Negara, I AM AN ARTIST 2.0 di galeri coredesign dan Redah, Duo Aiman Aisamudin & Isa Ishak di HOM art trans.
Malah hasil sentuhan seniman ini juga berjaya dipentaskan di luar negara pada bulan Julai tahun ini iaitu Asian Students Young Artists Art Festival (ASYAAF) 2021 di LVS Galeri, Seoul, Korea.
JADI BURUH
Seniman memiliki cerita dan cerita itulah juga yang mewarnai kanvas hasil seninya. Isa yang terlihat kasar lantaran bekerja dalam sektor pembinaan sebagai buruh sejak usia kanak-kanak, tidak menidakkan bakat seni dan dalam dirinya.
“Saya kerja buruh sejak usia sembilan tahun hingga kini. Malah saya belajar bertukang dari ayah sejak sekolah rendah. Walaupun bunyinya agak lasak dan kasar, namun sebagai orang seni, jiwa sensitif itu tetap ada.
“Seni bertukang itulah yang membantu saya berfikir di luar kotak lalu mengembangkan idea untuk dalam menghasilkan sesebuah karya,” katanya.
Anak kelahiran Selangor ini memberitahu, ayahnya Mohammad Ishak Mohammad Superi insan bertanggungjawab mendedahkan dirinya mengenai seni bina yang secara tidak langsung memupuk bakat seninya.
“Contohnya, dalam membina bangunan. Kita bukan susun batu bata, setakat campak macam itu sahaja, perlu ada seni untuk menyusun batu bata tersebut agar ia kukuh.
“Dari kerja-kerja buruh inilah membantu otak saya berkembang dan saya belajar untuk berfikir di luar kotak. Semasa di tingkatan lima dan mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya dapat satu A sahaja iaitu subjek seni. Itupun merupakan subjek tambahan kerana aliran utama ialah akaun,” katanya mengimbau kenangan.
Rentetan daripada itu, Isa mengambil keputusan menyambung pengajian ke Universiti Teknologi Mara (UiTM). Masuk untuk panggilan kedua, adalah suatu hikmah buat Isa apabila peluang itu digunakan sehabis baik untuk melakukan yang terbaik dalam pengajiannya di situ.
PAMERAN SOLO PERTAMA
Menurut Isa, pameran solo pertamanya ini merupakan batu loncatan untuknya dalam bidang seni lukisan kerana tidak mudah untuk seorang pelukis mempunyai pameran solo tersendiri.
Akur amat bersyukur atas peluang dan kepercayaan diberikan, kata Isa mempersembahkan karya seni dalam pameran solo seperti itu adalah impian semua insan seni tidak terkecuali dirinya.
Baginya, pameran solo bagaikan kayu pengukur dalam membuka laluan untuk seniman seperti untuk melangkah lebih jauh.
“Pameran solo ini bagaikan pembuka rezeki. Selalunya selepas itu akan ada lebih banyak peluang untuk mengadakan pameran solo lagi,” katanya.
Pada pameran itu Isa membahagikan karyanya kepada dua kategori iaitu Diri dan Disiplin Diri.
Diri terdiri daripada 16 karya seni figuratif abstrak yang menunjukkan pencariannya dalam perhubungan, penerokaan, pertanyaan dan dokumentasi pencapaian penting dalam kehidupan peribadinya.
Manakala, 10 karya seni lain dipamerkan sebagai kategori Disiplin Diri diilhamkan dari alam semula jadi dan keindahan struktur pokok bonsai.
Antara paling menangkap perhatian ialah potret pokok bonsai, yang beliau terjemahkan sebagai hubungan sesama manusia.
KISAH SEKEPING ROTI CANAI
Mengulas mengenai pengalaman sukar dilupakan, Isa berkata dia pernah makan hanya sekeping roti canai sehari dalam masa seminggu kerana ketika itu tidak mempunyai kerja-kerja melukis.
“Usai pengajian saya menjadi pelukis. Waktu itu amat mencabar sekali sebab pendapatan saya hanya bergantung sepenuhnya pada penjualan lukisan. Ada satu tahap, saya hanya makan sekeping roti canai kosong setiap hari dalam masa seminggu kerana pendapatan tidak menentu,” katanya.
Perit rupa-rupanya tidak terhenti di situ.
Katanya ia berulang sewaktu perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan dan ia dianggap paling perit sepanjang bergelar pelukis.
“Situasi PKP lebih mencabar. Bukan sahaja saya tidak dapat mempamerkan lukisan di mana-mana galeri, tetapi tempahan diterima juga kurang.
“Namun situasi itu tidak mematahkan semangat saya untuk terus berkarya. Realitinya itulah kehidupan seorang pelukis, pendapatan kami tidak menentu,” kongsinya.
Mengenai hasil jualan lukisan, kata Isa dia juga pernah berdepan pengalaman kena tipu sebab kurang ilmu.
“Dulu saya tidak tahu perlu ada bukti pembayaran atau ambil sekurang-kurangnya pembayaran awal iaitu deposit, tapi kini saya belajar dari kesilapan bagi memastikan perkara tersebut tidak berulang lagi.
“Lukisan sudah diambil namun tidak mendapat bayaran. Perkara biasa terjadi untuk pelukis baru, bila sudah lukis tetapi tiba-tiba pelanggan tidak jadi beli, atau pelanggan sudah mengambil lukisan tetapi tidak membayar walaupun sudah berjanji,” ujarnya.
Pahit maung lumrah hidup. Namun pesan Isa, penggiat seni lukisan jangan sekali-kali berputus asa kerana seni adalah suatu perjuangan.
“Jangan berputus asa dalam melahirkan karya. Rezeki akan sentiasa ada bagi mereka yang rajin berusaha,” katanya.
AYAH HADIAH TANAH
Muda dan berkat. Kata Isa pencapaianya itu banyak didorong oleh sokongan ahli keluarga, khususnya ayahnya yang menghadiahkan tanah khas untuk Isa membina studio seni sendiri.
“Pada awalnya keluarga berasa bimbang sekiranya kerjaya ini tidak mampu untuk menampung kehidupan saya kerana pendapatan yang tidak menentu, kadang ada tapi sikit dan kadang tidak ada langsung.
“Tapi saya bersyukur meskipun persoalan dan kebimbangan itu muncul, ayah tetap menghadiahkan sebuah tapak untuk saya membina studio sendiri.
“Saya menganggap ia adalah petanda mereka tetap menyokong saya untuk menjadi seorang seniman,” katanya yang mempunyai studio sendiri di Teluk Panglima Garang, Selangor.











