Remaja mengundi, didik anak buat pilihan matang - Utusan Malaysia

Remaja mengundi, didik anak buat pilihan matang

Ibu bapa juga perlu menekankan peraturan mengundi seperti beratur dan sentiasa senyap di kawasan pusat mengundi. – Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bulan lalu, tidak lama lagi (PRN) Sarawak Ke-12 akan diadakan 18 Disember ini.

Yang menarik perhatian apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan, pindaan umur kelayakan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik telah diwartakan semalam dan berkuat kuasa pada 15 Disember ini.

Begitupun Undi18 tidak direalisasikan ke atas PRN ini. Namun sudah ramai yang teruja mengenainya.

Biarpun ramai mempertikaikan Undi18 tapi sampai bila kita takut melakukan perubahan. Dalam hal ini ibu bapa berperanan penting dalam memastikan ahli keluarga khususnya remaja berupaya menunaikan hak dan kewajipan seperti dinyatakan dalam perlembagaan.

Pensyarah dan Ketua Jabatan Hubungan Antarabangsa Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr. Hussain Yusri Zawawi berkata, pilihan raya merupakan proses demokrasi yang penting dan ia perlu disuburkan dan disertai oleh semua rakyatnya.

“Ia bukan perkara main-main. Kalau ada pihak menyatakan remaja tidak matang, untuk mengundi ibu bapa harus memainkan peranan sewajarnya dengan memastikan ahli keluarga menunaikan hak dan kewajipan seperti yang telah dinyatakan dalam perlembagaan,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Perkara 119(1) menyatakan tiap-tiap warganegara berhak mengundi di dalam bahagian pilihanraya itu dalam mana-mana pilihan raya bagi Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri melainkan hilang kelayakan di bawah Fasal (3) atau di bawah mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan kesalahan yang dilakukan berkaitan pilihan raya.

Hussain berkata antara boleh dilakukan ibu bapa ialah mengenali calon yang berwibawa secara nyata, bukan hanya melalui updatanya di media sosial.

“Personaliti calon dikemukakan dalam pilihan raya perlu diberi keutamaan bagi memastikan pentadbiran negara ditadbir oleh ahli politik yang bersih dari salah laku undang-undang. Kegagalan memilih calon disebabkan ketaksuban kepada mana-mana parti memungkinkan negara disalah tadbir dengan ahli politik yang tidak bertanggungjawab dan amanah.

“Ketokohan pemimpin yang berkarisma adalah indikator yang sangat penting untuk dipilih sebagai teras dan tunjang utama untuk Malaysia supaya negara disegani oleh mana-mana kuasa dunia yang lain,” katanya.

Ukuran lain ialah pemimpin dipilih perlu sentiasa bersama rakyat dan mempunyai hubungan yang baik dengan masyarakat. Dengan erti kata yang mudah, apabila dilantik menjadi wakil rakyat perlu menunaikan kewajipan untuk rakyat dan bersama-sama menyelami kesusahan rakyat serta terus berjuang melakukan perubahan terbaik untuk rakyat,” katanya.

Pemimpin yang hanya tiba sewaktu pilihan raya dengan kata-kata yang manis antara perlu dijauhi kerana kurang berkaliber dalam memperjuangkan masalah rakyat.

“Atas dasar ini, saya menyarankan setiap ahli keluarga perlu memberi pendedahan sewajarnya kepada anak-anak tentang tipu daya dan permainan politik politik yang tidak berprinsip yang merugikan rakyat dan negara.

“Anak muda perlu bangkit menyuarakan bantahan dan menolak kepimpinan yang mempermainkan rakyat dengan sesuka hati,” ujarnya.

Ajar membuat keputusan tepat
Sementara itu, ibu kepada tiga orang anak berusia antara 15 hingga 23 tahun, Datuk Norshida Ibrahim, berkata ibu dan wanita antara kumpulan paling rapat dengan anak muda dan mereka boleh mempengaruhi remaja membuat keputusan.

Selaku guru di rumah wanita harus bersedia memberi tunjuk ajar kepada anak-anak tentang tatacara mengundi.

“Sebagai persediaan awal ibu bapa perlu memeriksa nama anak dalam daftar pemilih sebelum ke tempat mengundi melalui semakan boleh dibuat melalui Daftar Pemilih di Tempat Mengundi atau di Pejabat Pilihan Raya Negeri atau melalui laman web SPR (http://www.spr.gov.my) dua minggu sebelum hari mengundi,” katanya.

Norshida turut menggalakkan ibu bapa memastikan anak-anak datang awal ke tempat mengundi yang telah ditentukan selain membawa bersama dokumen pengenalan diri seperti kad pengenalan atau pasport dan jika hilang, perlu membawa resit kad pengenalan.

“Ibu bapa juga perlu menekankan peraturan dalam mengundi seperti beratur dan sentiasa senyap di kawasan pusat mengundi. Bagi yang ada anak Orang Kurang Upaya (OKU) mereka perlu ditemani ke pusat mengundi.

“Jika tiada waris seperti abang, adik, suami atau isteri, berikan kuasa untuk mengundi bagi pihak ibu bapa. Jika tiada waris, ibu bapa boleh memohon anak-anak OKU ini meminta pertolongan Ketua Tempat Mengundi untuk membantu mereka membuang undi,” katanya yang berkhidmat sebagai Setiausaha Politik Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Beliau turut berpesan ibu bapa perlu tegaskan kepada anak-anak bahawa undi adalah penentu masa depan negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×