Harga minyak meningkat, OPEC+ dijangka henti tambah bekalan - Utusan Malaysia

Harga minyak meningkat, OPEC+ dijangka henti tambah bekalan

PEKERJA syarikat minyak menjalankan kerja-kerja carigali ketika harga bahan bakar itu terus meningkat di pasaran. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Harga minyak meningkat semalam selepas mengalami kerugian sehari sebelumnya.

Ia berikutan jangkaan Pertubuhan Negara-Negara Pengeluar Minyak dan sekutunya (OPEC+) mungkin menghentikan sementara penambahan bekalan ketika kebimbangan berkenaan penyebaran varian Omicron akan memberi kesan kepada permintaan bahan api dan ekonomi dunia.

Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) Amerika Syarikat (AS) meningkat 48 sen atau 0.7 peratus kepada AS$66.05 (RM279.36) setong, selepas jatuh 0.9 peratus pada Rabu.

Minyak mentah Brent pula meningkat 48 sen atau 0.7 peratus kepada AS$69.35 (RM293.32) selepas menyusut 0.5 peratus pada sesi sebelumnya.

Penganalisis di Fujitomi Securities Co. Ltd., Toshitaka Tazawa berkata, peningkatan tersebut disebabkan beberapa pelabur menjangkakan OPEC+ akan mengekalkan tahap bekalan semasa pada Januari.

“Ini untuk menyerap apa-apa kerosakan terhadap permintaan akibat penyebaran varian Omicron,” katanya.

Sejak Ogos lalu, OPEC+ telah menambah 400,000 tong tambahan sehari ke dalam bekalan global setiap bulan.

Namun, penemuan Omicron menyukarkan proses pembuatan keputusan pertubuhan itu apabila beberapa pemerhati berspekulasi OPEC+ akan menghentikan sementara penambahan tersebut bulan hadapan untuk memperlahankan pertumbuhan bekalan.

Omicron dengan pantas menjadi varian Covid-19 yang dominan di Afrika Selatan kurang empat minggu selepas ia ditemui.

Kelmarin, AS menjadi negara terbaharu yang mengenal pasti kes Omicron dalam sempadannya.

Harga minyak dunia telah kehilangan lebih AS$10 (RM42.30) setong sejak minggu lalu apabila berita berkenaan Omicron mengejutkan pelabur.

Timbalan Setiausaha Tenaga AS, David Turk berkata, pentadbiran Presiden Joe Biden boleh mengubah suai masa untuk pelepasan strategik stok minyak mentahnya jika harga tenaga dunia turun mendadak.

Untung dalam pasaran minyak semalam terhad apabila data inventori mingguan AS menunjukkan stok minyak mentahnya jatuh kurang daripada jangkaan minggu lalu, sementara gasolin dan inventori tersuling meningkat lebih banyak daripada jangkaan setelah permintaan melemah.

Menurut Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA), inventori minyak mentah jatuh 910,000 tong pada minggu lalu berbanding jangkaan penganalisis dalam tinjauan Reuters, iaitu 1.2 juta tong. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×