UALA LUMPUR: Kerajaan mungkin perlu mempertimbangkan untuk menyelamatkan AirAsia berbanding Malaysia Airlines (MAS) yang dilihat kurang berpotensi untuk memberikan pulangan berbaloi kepada negara.
Walau bagaimanapun, penganalisis industri penerbangan dari Endau Analytics, Shukor Yusof berkata, apa-apa keputusan yang dibuat kerajaan perlu mengetepikan soal emosi dan sentimen supaya kepentingan utama iaitu ekonomi negara dapat diselamatkan.
Kata beliau, AirAsia mempunyai potensi yang lebih besar dan berperanan penting dalam membangkitkan semula ekonomi negara selepas pandemik Covid-19 berakhir.
“Analisis yang saya lakukan mendapati sejak 2015 sehingga 2018, MAS mengalami kerugian sehingga RM3.5 bilion.
“Untuk menyelamatkan satu-satu syarikat penerbangan yang mengalami kerugian akibat pandemik Covid-19 ini, kerajaan perlu berbelanja antara AS$1 bilion sehingga AS$2 bilion (RM4.15 bilion hingga RM8.30 bilion). Mana-mana pilihan yang diambil perlu dipastikan berbaloi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Utusan Malaysia semalam melaporkan kemungkinan kedua-dua syarikat penerbangan itu berisiko bankrap kerana pandemik Covid-19 yang menjejaskan pendapat syarikat penerbangan akibat kehilangan permintaan.
Kedua-dua syarikat tersebut berisiko bankrap jika tiada modal mencukupi disuntik bagi menyelamatkannya.
Menurut Shukor, pandemik Covid-19 telah ‘menjahanamkan’ lanskap industri penerbangan bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia.
Dengan peningkatan kes jangkitan di Malaysia yang naik mendadak baru-baru ini, sinar untuk industri penerbangan semakin kelam dan tidak dapat dijangka bila ia akan memulih.
Tegas Shukor, industri penerbangan mempunyai kepentingannya yang tersendiri kepada ekonomi negara khususnya untuk industri pelancongan.
Dalam hal itu, data menunjukkan AirAsia lebih signifikan berbanding MAS berdasarkan sumbangannya kepada industri pelancongan dan meningkatkan keterhubungan Malaysia dalam dunia.
“Kerajaan perlu lihat secara jangka masa panjang masa hadapan industri penerbangan negara. Bukan sekadar menyelamatkan satu-satu syarikat kerana ia nazak.
“Walaupun AirAsia syarikat swasta, tetapi AirAsia salah satu syarikat terbaik yang beberapa tahun lalu membawa ramai pelancong ke Malaysia. Sekiranya AirAsia jatuh, ia akan memberi kesan kepada ekonomi Malaysia. Mereka sudah membawa penumpang yang lebih ramai berbanding MAS. Suka atau tidak, kerajaan perlu ambil tahu keadaan syarikat itu,” katanya. – UTUSAN










