Secara tiba-tiba Pantai Esen di Permatang Damar Laut, Batu Maung, Pulau Pinang menjadi tular. Ia selepas beberapa keping pemandangan matahari terbenam di kawasan pantai itu meledak di media sosial.
Pantai Esen yang turut dikenali sebagai ‘pulau tersembunyi’ itu merupakan satu lokasi pelancongan baharu yang boleh diterokai dengan berjalan kaki dan mendaki secara santai (hiking).
Bagaimanapun, bagi yang mahu mencuba mencabar diri sendiri dengan aktiviti lasak di samping menikmati keindahan alam semulajadi di Pantai Esen, pasukan Pantai Esen ATV Extreme Park bersedia membantu menawarkan keseronokan kepada penggemar sukan rekreasi lasak.
Bagi pengendali Pantai Esen ATV Extreme Park, Mohd. Zuhair Hizami Mohd. Zainol Abidin, 29, matlamat utamanya membuka perniagaan itu Julai lalu adalah mahu penggemar sukan lasak dan peminat alam semula jadi meneroka keindahan Pantai Esen itu dengan cara menggunakan kenderaan lasak ATV.

Beliau berkata, antara sebab dia memilih ATV sebagai satu medium memperkenalkan keindahan Pantai Esen ialah berbanding motosikal, kenderaan empat roda itu jauh lebih stabil meskipun menuruni dan mendaki bukit yang curam atau permukaan tidak sekata.
“ATV yang merupakan kenderaan menyerupai motosikal tetapi memiliki empat roda ini tidak semestinya memerlukan individu memiliki lesen kelas B mengendalikannya.
“Sebaliknya memadai sesi ice breaking lima hingga 10 minit dan mereka sudah boleh menunggangnya dengan lancar,” katanya ketika ditemui di Pantai Esen baru-baru ini.
Dia sendiri tidak sangka perniagaan sukan lasak yang dibuka Julai lalu sekelip mata menjadi popular selepas Pantai Esen tular di media sosial.
“Sejak kecil lagi saya dan rakan-rakan menjadikan kawasan Pantai Esen sebagai lokasi permainan dan kami amat mahir dengan selok-belok kawasan ini.
“Menyedari potensi yang ada, saya dan seorang lagi rakan kongsi, Mohd. Hafifi Noorzain, 29, memberanikan diri memulakan perniagaan sukan lasak ATV di sini,” katanya.
Menurutnya, segala-galanya berlaku dengan pantas, walaupun ketika pandemik Covid-19 perniagaannya yang turut dibantu 10 lagi rakan sekampung berkembang sehingga tular di media sosial.
Mohd. Zuhair Hizami berkata, dia dan rakan kongsi melabur lebih RM100,000 untuk memulakan perniagaan sukan lasak ATV di Pantai Esen itu.
“Kami mengambil masa lima bulan untuk meninjau laluan yang sesuai serta membuka laluan baharu untuk penggemar sukan lasak.
“Segala-galanya kami lakukan sendiri. Kebetulan saya dan rakan-rakan mempunyai kemahiran bertukang dan kemahiran lain jadi kami gunakan kepakaran yang ada untuk membuka tempat ini.
“Boleh dikatakan laluan untuk ATV yang merangkumi kawasan cerun bukit, lalang, lumpur, persisiran pantai dan kebun getah serta kemudahan lain di Pantai Esen ini kami bina sendiri dengan titik peluh kami,’’ katanya.
Beliau berkata, minatnya yang mendalam dalam sukan lasak terutama motocross antara faktor utama dia memberanikan diri untuk meneroka cabang baharu perniagaan sukan lasak ATV itu.
“Saya berpengalaman sebagai kontraktor, namun saya telah mengambil keputusan untuk berhenti kerja sebagai kontraktor dan menumpukan sepenuh perhatian kepada perniagaan ini.
“Saya dan rakan-rakan turut mempunyai kemahiran dalam sukan lasak membabitkan motosikal dan kepakaran ini kami gabungkan bersama dengan keindahan Pantai Esen untuk penggemar sukan lasak,” katanya.

Katanya, pada masa ini Pantai Esen ATV Extreme Park mempunyai 10 petugas yang terdiri daripada rakan-rakan karibnya dan enam daripada mereka akan bertindak selaku marshall yang akan memberi panduan sepanjang peserta melalui laluan mencabar di Pantai Esen.
Mohd. Zuhair Hizami berkata, dengan bayaran RM80 seorang, penggemar sukan lasak akan dibawa meredah laluan sepanjang empat kilometer selama lebih sejam yang merangkumi laluan cerun bukit, kawasan lalang, lumpur, kebun getah dan persisiran pantai yang mencabar kemampuan setiap pengunjung.
“Setiap satu kawasan ada cabarannya yang tersendiri, namun dari segi keselamatan kami amat titik beratkan di mana setiap marshall akan menjaga dengan rapi di setiap checkpoint.
“Penghujung laluan iaitu di kawasan persisiran pantai merupakan antara lokasi kegemaran ramai terutama ketika matahari terbenam.
“Pada masa ini untuk satu trip sebanyak 10 ATV digunakan dan kami mempunyai lima slot setiap hari bermula pukul 9 pagi hingga 6 petang,” katanya.
Memandangkan potensi yang ada di Pantai Esen untuk menjadi tarikan terbaharu di Pulau Pinang, Mohd Zuhair Hizami bercadang menjadikan kawasan berkenaan sebagai satu produk agro pelancongan bagi para pelancong yang mahukan kelainan ketika melancong.
“Dalam tempoh setahun lagi kami mahu menambah beberapa produk pelancongan di sini seperti memperkenalkan mini zoo, ternakan rusa dan juga inap desa.
“Ini adalah impian kami untuk melihat Pantai Esen menjadi satu produk pelancongan baharu di Pulau Pinang,” katanya.
Mereka yang ingin mencuba permainan sukan lasak ATV yang disediakan oleh Pantai Esen ATV Extreme Park, boleh meninjau laman sosial Pantai Esen ATV Extreme Park (Facebook),
pantai_esen_atv_extreme_park (Instagram) dan @penang.atv (Tik Tok) atau hubungi talian 012- 4799274 untuk maklumat lanjut.

Lepas cuba sekali, pasti mau lagi
Kami akan kembali.
Itulah perkataan yang muncul daripada pengunjung-pengunjung selepas mereka selesai menaiki kenderaan ATV meneroka Pantai Esen.
Bagi Nurul Aida Azmi, 22, yang tinggal di Seberang Prai, Pulau Pinang, dia pada mulanya agak takut untuk menaiki ATV kerana tidak mempunyai pengalaman menaiki kenderaan bermotor.
Namun katanya, selepas mencuba ATV dengan dibantu marshall di sepanjang perjalanan dia amat teruja menikmati pengalaman berkenaan bersama sekumpulan rakan-rakannya.
“Memang berbaloi untuk mencuba ATV di sini kerana pemandangan dan suasana di sekitar Pantai Esen amat indah terutama ketika matahari terbenam.
“Saya pasti akan kembali ke sini semula untuk menaiki ATV, pengalaman dan suasana di sini tidak dapat dijual beli,” katanya ketika ditemui di Pantai Esen baru baru ini.
Menurutnya, laluan yang paling mencabar ialah disepanjang cerun bukit namun ia menjadi mudah dengan bantuan marshall yang berada di setiap checkpoint.
“Saya berasa selamat sepanjang perjalanan kerana jika ATV kita tersangkut di celah batu atau pokok, marshall pantas membantu,” katanya.
Dalam pada itu, turut berkongsi pengalaman, G. Gamen Shan, 21, berkata, dia juga ingin kembali semula bermain ATV di Pantai Esen selepas mencubanya buat kali pertama.
“Selepas ini saya akan kembali bersama keluarga, saya mahu mereka melihat sendiri keindahan Pantai Esen dengan menaiki ATV,” katanya.










