Air kelapa muda berkarbonat - Utusan Malaysia

Air kelapa muda berkarbonat

Nur Farah Hani Muhammad menunjukkan produk minuman air kelapa berkarbonat yang mampu bertahan lebih lama berbanding air kelapa segar. -UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sebut sahaja air kelapa muda, mesti ramai tahu akan manfaat dan khasiat minuman ini kepada kesihatan tubuh badan manusia.

Minuman ini bukan sahaja sedap. Bahkan rendah kalori, rendah lemak, penuh dengan vitamin dan mineral penting untuk kesejahteraan tubuh badan.

Malah sebelum ini portal media melaporkan populariti air kelapa turut melonjak.

Antaranya kerana ada dakwaan ia merupakan ubat penyembuh untuk golongan yang dijangkiti virus Covid-19.

Namun, dakwaan tersebut disangkal oleh penyelidik pakar perubatan kerana tidak ada kajian sahih yang membuktikan air kelapa mampu bertindak sebagai ubat kepada virus tersebut.

Apapun, rakyat dinasihati untuk tidak mudah terpengaruh dengan maklumat-maklumat kurang sahih terdapat di laman sesawang dan media sosial.

Sungguhpun begitu, air kelapa muda sememangnya mempunyai pelbagai nutrisi dan manfaat kepada kesihatan masyarakat.

Jika diteliti ada juga rakyat tempatan yang menggunakan air kelapa bagi menurunkan suhu demam. Malangnya, air kelapa muda yang segar tidak mampu bertahan lama. Ia cepat rosak dan tidak boleh disimpan dalam jangka panjang.

Bagi mengatasi masalah tersebut, Pegawai Penyelidik Pusat Penyelidikan Sains dan Teknologi Makanan, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Nur Farah Hani Muhammad dan pasukannya berjaya mencipta Minuman Kelapa Muda Berkarbonat.

Menurut Farah Hani, kecenderungan diet pengguna masa kini iaitu ke arah gaya hidup sihat menjadikan minuman dari sumber semula jadi seperti kelapa muda semakin menjadi pilihan.

“Kelapa atau nama saintifiknya Cocos nucifera L. adalah tanaman keempat terpenting di Malaysia selepas kelapa sawit, getah dan padi. Permintaan terhadap kelapa bagi kegunaan segar dan pemprosesan makanan semakin meningkat saban tahun.

“Oleh itu, selaras dengan hasrat kerajaan bagi memperkasa industri kelapa di Malaysia, pembangunan produk di peringkat hiliran sangat penting bagi memastikan industri huluan terus produktif di samping menjana sumber pendapatan usahawan,” katanya.

Ahli pasukan terlibat membangunkan inovasi ini. (Dari kiri) Adawiyah Akbar, Nur Farah Hani Muhamad dan Norman Isman.

MINUMAN BERKHASIAT

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Farah Hani berkata minuman kelapa muda adalah minuman berkhasiat kerana kaya dengan mineral dan antioksidan selain dapat menghilangkan dahaga.

“Minuman kelapa muda biasanya diminum segar tanpa perlu sebarang pemprosesan atau rawatan. Namun, ia mudah rosak dan tidak boleh disimpan lama.

“Walaupun kaedah retort atau UHT (Ultra High Temperature) sering digunakan untuk memanjangkan tempoh hayat minuman kelapa, terdapat perubahan ketara terutamanya ke atas rasa minuman kelapa disebabkan oleh suhu tinggi dikenakan ke atas air kelapa tersebut.

“Untuk mengatasi masalah ini, kaedah rawatan haba pada suhu rendah seperti pempasteuran dan kaedah rawatan tanpa haba seperti penurasan mikro (microfiltration) boleh digunakan untuk memanjangkan jangka hayat air kelapa muda tanpa perubahan rasa yang ketara.

“Minuman kelapa muda yang dibangunkan ini ditambah dengan gas karbon dioksida untuk memberikan rasa lebih enak dan menyegarkan,” jelasnya..

Menurut Farah Hani, buah kelapa dipilih kerana ia tidak dapat disimpan dalam tempoh yang lama.

Oleh itu, inovasi ini dapat meningkatkan jangka hayat penyimpanan minuman kelapa muda tanpa memberi perubahan rasa yang ketara ke atas air kelapa muda.

“Inovasi ini juga dapat memberi alternatif kepada para pengguna untuk menikmati air kelapa muda pada bila-bila masa kerana ia mempunyai jangka hayat yang lebih panjang,” kongsinya.

KELEBIHAN PRODUK

Ditanya mengenai kelebihan produk tersebut, Farah Hani berkata, ia mempunyai jangka hayat lebih lama berbanding kelapa segar.

“Minuman kelapa muda berkarbonat dengan kaedah rawatan pempasteuran mempunyai jangka hayat selama empat minggu pada suhu 2 hingga 7 darjah celsius.

“Selain itu, minuman kelapa muda berkarbonat dengan kaedah rawatan microfiltration mempunyai jangka hayat selama lapan minggu pada suhu yang sama.

“Selain dari itu, produk ini diperkaya dengan antioksidan serta kandungan mineral. Ia turut ditambah gas karbon dioksida untuk rasa lebih unik dan menyegarkan,” kongsinya.

Malah lebih menarik lagi, inovasi itu dihasilkan tanpa penglibatan dan penggunaan sebarang bahan pengawet.

PENGGUNAAN

Kongsi Farah Hani, produk tersebut tidak mempunyai cadangan kekerapan pengambilan.

Ia sesuai diminum setiap hari disebabkan manfaat kandungan mineral dan antioksiden yang terdapat dalamnya.

“Bukan itu sahaja, malah tiada had umur ditetapkan, produk ini boleh dinikmati oleh sesiapa sahaja terutama bagi penggemar air kelapa muda.

“Produk ini bakal dipasarkan sekiranya terdapat syarikat yang berminat untuk menggunapakai teknologi inovasi ini,” katanya.

KAJIAN PENERIMAAN PENGGUNAAN

Menurut Farah Hani, kajian penerimaan pengguna telah dijalankan ke atas 100 responden dengan menggunakan teknik pensampelan secara rawak di sekitar Lembah Klang.

“Latar belakang responden adalah 67.3 peratus perempuan dan 32.7 peratus adalah lelaki. Seramai tiga peratus responden adalah berumur kurang 20 tahun, 20.8 peratus berumur 21 hingga 30 tahun, 29.7 peratus berumur 31 hingga 40 tahun, 25.7 peratus berumur 41 hingga 50 tahun, dan 20.8 peratus berumur lebih 50 tahun.

“Secara keseluruhan, minuman kelapa muda berkarbonat mencatatkan penerimaan yang baik iaitu 81.2 peratus berbanding dengan produk komersial, iaitu hanya mencatatkan penerimaan keseluruhan sebanyak 20.8 peratus.

“Sebanyak 97 peratus responden berkata akan membeli produk ini sekiranya berada di pasaran.

“Berdasarkan kajian dijalankan, produk ini menerima sambutan yang baik daripada para pengguna dan sangat berpotensi untuk dikomersialkan,” ujarnya mengakhiri bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×