SEREMBAN: Dakwaan kerajaan negeri Selangor tentang Sungai Semenyih dicemari air dari sungai di Batang Benar dekat Mantin, Negeri Sembilan, sehingga menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas, mungkin ada benarnya.
Tinjauan Utusan Malaysia di sebatang sungai yang dipercayai tercemar di Kampung Batang Benar di Nilai dekat sini mendapati sungai itu berbau busuk dan dipenuhi dengan sampah sarap dipercayai dibuang oleh pihak tidak bertanggung jawab.
Untuk sampai ke tebing sungai berkenaan, wartawan bersama tiga petugas Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri yang membuat siasatan terpaksa berjalan kaki sejauh lebih 100 meter dengan meredah kawasan bersemak.
Apabila sampai di tebing sungai, bau busuk terus menusuk hidung dan dapat dilihat dengan jelas air sungai keruh serta penuh dengan sampah sarap termasuk bangkai haiwan.
Selepas pegawai JAS mengambil sampel air, tinjauan diteruskan di dua lagi lokasi berhampiran yang menempatkan ladang ternakan angsa yang dipercayai punca utama pencemaran.
Bagaimanapun, lokasi itu tidak dapat dimasuki kerana ditutup dan pegawai JAS terpaksa menerbangkan dron untuk mengambil gambar serta membuat tinjauan dari udara.
Gambar yang dirakam menggunakan dron itu jelas menunjukkan air sungai di kawasan itu berwarna hitam dan tercemar teruk.
Namun, semua dakwaan itu belum dibuktikan sehingga pihak JAS selesai menganalisis kualiti air dari kawasan tersebut dan kawasan-kawasan yang dilalui oleh sungai berkenaan.
Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian Selangor berkata, aktiviti pembersihan ladang angsa dan kawasan Perindustrian Nilai 3 dipercayai menjadi punca sungai berkenaan tercemar sebelum mengalir ke Sungai Semenyih.
Namun, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S. Veerapan berkata, pihaknya masih menunggu laporan terperinci JAS dan Badan Kawal Selia Air (BKSA) negeri mengenai kesahihan laporan berkenaan. – UTUSAN










